Dengar playlist penuh di sini
.

Ada atau tidak, mungkin bergantung kepada bagaimana kita mendefinisikan cinta itu sendiri.
Masalahnya, perkataan cinta terlalu mudah kita definisikan mengikut apa yang kita mahu dan apa yang kita perlukan daripada pasangan. Padahal, cinta sebenarnya tak mempunyai satu definisi universal yang sesuai untuk semua orang.
Bagi seorang perempuan, cinta mungkin bermaksud pasangan yang mengambil berat.
Dia rasa disayangi apabila suami bertanya sudah makan atau belum, perasan bila dia penat, membantu ketika dia perlukan sokongan atau sekadar bertanya, “Awak okay?”
Tetapi bagi seorang lelaki, cinta mungkin diterjemahkan melalui tanggungjawab.
Dia mungkin melihat usaha mencari nafkah, memastikan keluarga cukup makan, menyediakan tempat tinggal dan melindungi keluarga sebagai cara dia menunjukkan cinta.
Bagi sesetengah perempuan pula, cinta daripada lelaki mungkin bermaksud protection. Rasa selamat, dilindungi dan tahu ada seseorang yang akan berdiri di belakangnya.
Manakala bagi sesetengah lelaki, cinta daripada pasangan mungkin terasa apabila ada seseorang yang mengambil berat tentang makan pakai, menguruskan rumah atau membuat dia rasa dihargai dan diperlukan.
Jadi sebenarnya, persoalannya bukan sekadar “ada cinta atau tak?”
Tetapi, “apa yang kita anggap sebagai cinta?”
Kalau suami dan isteri sudah berbincang, memahami definisi cinta masing-masing dan bersetuju bahawa perkara itulah yang mahu mereka pegang dalam perkahwinan, maka teruskan. Itulah bahasa cinta yang mereka pilih untuk bina bersama.
Tetapi kalau cinta yang dimaksudkan hanyalah perasaan, itu mungkin belum cukup.
Sebab perasaan boleh berubah.
Hari ini kita rasa sangat sayang. Esok mungkin biasa-biasa. Dulu setiap kali tengok muka pasangan, hati berbunga. Selepas beberapa tahun, bangun pagi tengok muka yang sama pun mungkin rasa macam, “Okay, jom fikir sarapan.”
Bukan semestinya cinta sudah mati.
Kadang-kadang perasaan itu sahaja yang berubah bentuk.
Kita boleh bercinta tiga tahun, berkahwin dan pada awalnya rasa begitu dekat dengan pasangan. Tetapi beberapa bulan atau beberapa tahun kemudian, perasaan fall in love itu mungkin tidak lagi sama.
Hubungan itu mungkin sudah menjadi lebih platonik. Kurang debaran, kurang rasa berbunga-bunga dan kurang “butterflies” seperti zaman awal.
Jadi, apa yang tinggal?
Tanggungjawab.
Kita sudah berkahwin. Sudah akad. Sudah berjanji.
Dan janji itu bukan bergantung kepada sama ada setiap pagi kita masih rasa berdebar melihat pasangan atau tidak.
Pada ketika itulah, cinta bukan lagi sekadar sesuatu yang kita rasa.
Cinta menjadi sesuatu yang kita pilih untuk usahakan.
Kita mula melabur semula dalam hubungan itu. Cuba bercakap semula. Cuba memahami pasangan. Cari masa bersama. Belajar semula bahasa cinta masing-masing. Buat perkara kecil yang dahulu pernah membuatkan pasangan tersenyum.
Sebab dalam perkahwinan, persoalannya bukan hanya “Aku masih sayang dia ke?”
Tetapi juga:
“Aku masih mahu melabur dalam hubungan ini atau tidak?”
Kalau kita hanya bergantung kepada perasaan, kita sebenarnya sedang bergantung kepada sesuatu yang sangat rapuh.
Perasaan boleh datang dan pergi.
Kita boleh rasa sayang kepada seseorang hari ini. Boleh rasa jatuh cinta. Tetapi perasaan itu juga boleh muncul terhadap orang lain.
Sebab itulah perkahwinan tidak boleh hanya berdiri atas perasaan.
Perasaan mungkin membawa dua manusia kepada cinta. Tetapi pilihan, tanggungjawab dan usaha yang berterusan membantu mereka terus membina cinta itu.
Mungkin itulah bentuk cinta yang lebih matang. Bukan sentiasa rasa “Aku tergila-gilakan kau,” tetapi tetap memilih untuk menjaga, menghormati dan mengusahakan hubungan yang pernah kita pilih untuk bina bersama.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.