Dengar playlist penuh di sini
.
Bayangkan kita baru sahaja dikebumikan. Suara orang yang mengiringi jenazah makin lama makin hilang. Langkah kaki mereka semakin jauh. Selepas itu, tinggal kita seorang.
Tiada lagi anak yang boleh dipanggil. Tiada pasangan yang boleh dipeluk. Tiada telefon, duit atau harta yang selama ini kita kejar siang malam.
Yang tinggal hanyalah amal.
Sebab itu kematian sebenarnya bukan sekadar tentang hari kita meninggal dunia. Ia juga tentang sejauh mana kita sudah bersedia untuk menghadapi kehidupan selepasnya.
Dan menariknya, ada satu surah dalam al-Quran yang sangat istimewa sehingga disebut dalam hadis Nabi SAW sebagai surah yang memberi syafaat kepada pembacanya.
Surah itu ialah Surah al-Mulk.
Surah ke-67 dalam al-Quran ini mempunyai 30 ayat sahaja. Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW menyebut tentang satu surah yang mempunyai 30 ayat dan memberi syafaat kepada seseorang sehingga dia mendapat keampunan Allah SWT. Surah tersebut ialah Tabarakallazi biyadihil-mulk Surah al-Mulk.
Sebab itu Surah al-Mulk sering diamalkan oleh umat Islam, khususnya sebelum tidur sebagai salah satu bentuk usaha mendekatkan diri kepada Allah dan memohon perlindungan-Nya.
Tapi ada satu perkara yang kita jangan terlepas pandang.
Jangan anggap membaca Surah al-Mulk sebagai “tiket automatik” untuk kita terlepas daripada segala azab tanpa perlu memperbaiki kehidupan.
Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca. Ia untuk dihayati, diamalkan dan dijadikan panduan.
Kalau setiap malam kita baca Surah al-Mulk tetapi siang hari masih sengaja meninggalkan solat, menyakiti orang, mengambil hak orang atau tidak mahu bertaubat, kita sendiri perlu muhasabah.
Yang menjanjikan keselamatan hanyalah Allah.
Surah al-Mulk pula menjadi salah satu amalan yang sangat baik untuk kita istiqamahkan.
Dan 30 ayat itu sebenarnya tidaklah panjang mana.
Kadang-kadang kita boleh scroll media sosial sampai satu jam sebelum mata terpejam. Tengok video satu demi satu, kononnya “yang terakhir”… tiba-tiba sudah pukul 2 pagi.
Tetapi beberapa minit untuk membaca al-Quran pula kita rasa terlalu lama.
Sedangkan kita tidak pernah tahu, malam mana yang menjadi malam terakhir kita di dunia.
Mungkin malam ini kita masih tidur atas tilam yang empuk.
Tetapi suatu hari nanti, kita semua akan melalui satu malam yang jauh berbeza.
Malam pertama dalam kubur.
Jadi sementara Allah masih beri peluang, masih beri nafas dan masih buka pintu taubat, apa kata kita mula kenal semula Surah al-Mulk?
Bukan kerana kita tahu bila ajal akan datang.
Tetapi kerana kita langsung tidak tahu.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.