Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Tayang Khayal Piu-Piu Di Socmed, Tapi Apa Jadi Pada Otak?

Bila benda yang dulu dibuat sembunyi-sembunyi kini berani dirakam dan ditayang kepada umum, persoalannya bukan lagi sekadar tentang trend.

Makin galak pula kita nampak anak muda mempamerkan diri di media sosial selepas mengambil “piu-piu”. Ada yang bercakap merapu, bergerak tanpa kawalan, ketawa seorang diri malah ada yang kelihatan seperti tidak sedar apa yang sedang berlaku.

Yang menakutkan, keadaan sebegini kadang-kadang bukan lagi disorok. Sebaliknya, dirakam sendiri dan dimuat naik ke media sosial seolah-olah ia sesuatu yang kelakar atau membanggakan.

Tapi sebenarnya, apa yang sedang berlaku pada otak dan badan ketika seseorang berada dalam keadaan begitu?

Bahan yang dikenali sebagai “piu-piu” dikaitkan dengan bahan sintetik yang boleh menyebabkan perubahan pada fungsi otak. Kesan yang berlaku bukan sekadar high atau rasa seronok. Seseorang boleh mengalami halusinasi, kekeliruan, tingkah laku luar kawalan dan dalam keadaan tertentu, sawan atau kehilangan kesedaran.

Sebab itu apabila kita tengok seseorang bercakap seorang diri, berjalan terhuyung-hayang atau melakukan sesuatu tanpa nampak sedar keadaan sekeliling, ia bukan semestinya sekadar buat perangai.

Otak mereka mungkin memang sedang terganggu.

Lebih membimbangkan, kesan bahan sintetik juga boleh berbeza daripada seorang pengguna kepada pengguna yang lain. Dos, kandungan bahan dan keadaan tubuh seseorang semuanya boleh mempengaruhi tindak balas badan.

Hari ini mungkin nampak macam gelak-gelak dengan kawan.

Esok, mungkin badan mula meminta lagi.

Di sinilah peranan ibu bapa menjadi penting. Bukan sekadar bertanya, “Kamu ambil apa?” apabila anak sudah kantoi tetapi mengenali perubahan tingkah laku anak lebih awal.

Anak yang tiba-tiba berubah kawan, tidur tak menentu, emosi mudah meletup, prestasi merosot atau mula menyembunyikan aktiviti daripada keluarga tidak semestinya mengambil dadah. Tetapi perubahan sebegini wajar diperhatikan dan dibincangkan.

Dan kalau anak sudah sampai tahap berani merakam keadaan dirinya selepas mengambil sesuatu yang mempengaruhi otak, itu mungkin bukan masa untuk kita sekadar marah dan rampas telefon.

Kita perlu faham apa yang sedang berlaku.

Di sebalik satu video yang nampak “lawak” di TikTok atau Instagram, mungkin ada otak yang sedang terjejas, tubuh yang sedang mengambil risiko dan seorang anak muda yang sebenarnya perlukan bantuan.

Media sosial mungkin membuat benda berbahaya nampak normal.

Tetapi otak dan tubuh manusia tetap akan menerima kesannya.

Yang viral mungkin cuma beberapa saat. Kesan kepada badan, belum tentu sekejap.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.