Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Gagap Bukan Sebab Gemuruh, Jangan Sesekali Sergah!

Ada yang percaya sergah orang gagap boleh membuatkan mereka bercakap lancar. Betul ke petua ini, atau sebenarnya boleh membawa kesan sebaliknya?

Pernah tak kita tengah berborak dengan seseorang, tiba-tiba dia tersekat ketika cuba menyebut sesuatu perkataan? Dia cuba bercakap tetapi bunyi yang mahu keluar seolah-olah tersangkut di tengah jalan.

Biasanya, kita mungkin terfikir, “Dia nervous ke?”

Sebenarnya, gagap bukan sekadar masalah gemuruh atau kurang keyakinan diri. Ia juga bukan disebabkan lidah pendek atau seseorang itu kurang bijak. Gagap ialah gangguan kelancaran pertuturan yang berkait dengan cara otak mengawal proses bercakap.

Individu yang gagap mungkin mengulang bunyi atau suku kata, memanjangkan sesuatu bunyi atau tersekat seketika ketika bercakap. Mereka mungkin sudah tahu apa yang ingin disampaikan tetapi sukar menyebutnya dengan lancar.

Gagap boleh dipengaruhi beberapa faktor, termasuk genetik dan perkembangan sistem pertuturan. Jadi, kita tak sepatutnya terus melabel seseorang yang gagap sebagai pemalu, gugup atau tidak pandai bercakap.

Gagap juga kerap bermula ketika kanak-kanak berusia sekitar dua hingga lima tahun iaitu ketika mereka sedang rancak mempelajari bahasa. Ada kanak-kanak yang kembali bercakap dengan lancar apabila membesar tetapi bukan semua kes akan pulih dengan sendiri.

Jika gagap berlarutan atau mengganggu keyakinan anak, ibu bapa boleh mendapatkan penilaian ahli terapi pertuturan-bahasa.

Pernah dengar petua lama yang mengatakan orang gagap boleh terus bercakap lancar jika disergah atau dikejutkan?

Hakikatnya, tiada bukti kukuh bahawa cara itu boleh menghilangkan gagap. Sebaliknya, perbuatan mengejutkan seseorang boleh membuatkan dia berasa malu, cemas atau takut untuk bercakap terutama jika dilakukan di hadapan orang ramai.

Bayangkan kita sendiri sedang cuba menyampaikan sesuatu tetapi orang sekeliling pula mentertawakan atau sengaja membuat kita terkejut. Bukannya membantu, tindakan begitu boleh menambahkan tekanan.

Bagi individu yang mengalami gagap, terapi pertuturan boleh membantu mereka menguruskan pertuturan mengikut keperluan masing-masing.

Kita juga boleh memainkan peranan dengan memberikan mereka masa untuk menghabiskan ayat. Jangan potong percakapan, sambung perkataan tanpa diminta atau asyik menyuruh mereka bercakap perlahan-lahan.

Cukuplah mendengar dengan tenang dan memberikan perhatian seperti kita mendengar orang lain bercakap.

Ingat, komunikasi bukan pertandingan siapa paling cepat bercakap. Apa yang ingin disampaikan seseorang jauh lebih penting daripada kelajuan dia menyebutnya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.