Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Anak Lelaki Selalu Takut, Macam Mana Nak Bantu Jadi Berani?

Anak lelaki takut gelap, hantu dan duduk sendirian? Mak ayah boleh membantu si kecil membina keberanian tanpa memalukan atau memaksanya berubah serta-merta.

Pernah tak mak ayah ada anak lelaki yang takut hampir semua benda? Nak naik tingkat atas seorang tak berani. Nak masuk bilik sendiri pun kena panggil mak. Kalau ditinggalkan di tingkat bawah seorang diri, mulalah menjerit memanggil orang.

Bila suasana gelap atau sunyi, fikirannya mula membayangkan macam-macam, termasuk hantu yang belum tentu wujud di situ!

Bagi mak ayah, perkara ini mungkin nampak remeh. Namun bagi anak yang sedang ketakutan, perasaan itu benar-benar mengganggu. Jadi, bagaimana nak bantu anak membina keberanian?

1. Jangan cepat panggil anak pengecut

Ayat seperti “Dah besar pun takut!” atau “Abang kan lelaki!” mungkin terkeluar apabila mak ayah hilang sabar.

Namun, ejekan tidak semestinya menghilangkan ketakutan anak. Sebaliknya, cuba katakan, “Mak tahu abang takut. Tak apa, kita cuba sama-sama.”

Anak perlu rasa difahami, bukannya malu dengan perasaannya sendiri.

2. Ajar anak berani secara berperingkat

Kalau anak takut naik tingkat atas seorang diri, temankan dia dahulu. Kemudian, cuba berdiri sedikit jauh dan beri peluang untuk dia mencuba sendiri apabila sudah bersedia.

Jika takut tidur dalam gelap, lampu malam boleh membantu sementara dia membina keyakinan.

Jangan paksa anak berubah dalam sehari. Keberanian memerlukan latihan dan masa.

3. Cari punca ketakutannya

Cuba tanya apa yang membuatkan dia takut. Adakah kerana pernah menonton cerita seram, mendengar kisah hantu atau memang mudah berasa cemas?

Dengar jawapannya tanpa mentertawakan. Bantu anak memahami bahawa bayangan menakutkan dalam fikirannya tidak bermakna perkara itu benar-benar ada.

4. Puji setiap usaha kecil

Kalau anak yang sebelum ini langsung tidak berani masuk bilik sendiri akhirnya sanggup mencuba, pujilah usahanya.

Katakan, “Bagus abang berani cuba tadi!”

Jika ketakutan berlarutan sehingga mengganggu tidur atau aktiviti hariannya, mak ayah boleh mendapatkan nasihat doktor atau profesional kesihatan mental kanak-kanak.

Hakikatnya, anak lelaki yang penakut bukan bermakna dia lemah. Dia mungkin cuma memerlukan lebih banyak masa dan sokongan untuk membina keyakinan.

Hari ini mungkin dia masih perlukan mak untuk menemaninya naik tangga. Namun, dengan bimbingan yang betul, mudah-mudahan suatu hari nanti dia mampu melangkah sendiri.

Tugas mak ayah bukan memaksa anak supaya tidak takut tetapi membimbingnya agar belajar menghadapi ketakutan itu sedikit demi sedikit.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.