Dengar playlist penuh di sini
.
Kalau tengok bola keranjang, kita nak tengok siapa lebih cekap mengawal bola, siapa pandai mencari ruang dan siapa mampu menewaskan lawan dengan skill sendiri.
Tapi bila tengok klip cabaran bola keranjang yang sedang diperkatakan netizen ini, lain pula ceritanya. Ramai bukan sekadar bercakap tentang permainan, tetapi turut menyirap melihat cara sesetengah pemain berinteraksi dengan lawan.
Cerita ini bermula apabila pemain streetball Kanada, Matt Kiatipis atau lebih dikenali sebagai MK, datang ke Malaysia untuk siri cabaran satu lawan satu. MK memang terkenal dengan video mencabar pemain tempatan di gelanggang terbuka, lengkap dengan aksi trash talk dan permainan psikologi.
Memang itulah sebahagian daripada imej kandungannya. Cabar-mencabar, usik-mengusik, masing-masing cuba mengganggu fokus lawan.
Tetapi dalam klip yang tular melibatkan Xiao Jian, ada beberapa aksi yang membuatkan penonton mula mempersoalkan batas antara provokasi dengan sikap tidak menghormati lawan.
Antara yang menjadi perhatian ialah aksi menyentuh kepala atau muka lawan. Ada juga interaksi fizikal yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Bagi sesetengah orang, mungkin itu sekadar perangai ketika bermain streetball. Tetapi bagi yang lain, kalau dah sampai menyentuh tubuh orang untuk mencabar atau memperlekehkan mereka, itu dah lain cerita.
Nak main psikologi, silakan. Tapi perlu ke sampai begitu sekali?
Apa yang menarik, Xiao Jian tidak dilihat melayan provokasi itu dengan kemarahan yang sama. Sebaliknya, dia terus bermain dan mengekalkan ketenangan.
Malah, antara perkara yang mencuit perhatian netizen ialah apabila dia dilihat boleh berbual santai, termasuk bertanya sama ada lawannya pernah mencuba nasi lemak.
Weh, tengah berdepan situasi panas pun masih boleh selamba macam itu!
Sebab itulah ramai mula memuji sikap pemain muda Malaysia ini. Bukan semata-mata kerana kemahiran bola keranjangnya tetapi kerana dia tidak perlu membuat kecoh untuk menunjukkan keyakinan diri.
Di media sosial, ada yang memuji ketenangannya, manakala ada juga yang mempersoalkan sama ada aksi sebegitu keterlaluan atau sekadar sebahagian daripada kandungan yang sengaja mencetuskan reaksi.
Apa pun, kita tak perlu terburu-buru membuat kesimpulan tentang niat sesiapa. Tetapi kita boleh menilai apa yang dipaparkan dan berbincang tentang batas menghormati lawan.
Dan satu perkara memang menarik daripada kisah ini adalah kadang-kadang orang yang paling tenang di gelanggang itulah yang paling banyak mendapat penghormatan.
Streetball memang ada tarikannya yang tersendiri. Suasana santai, aksi kreatif dan persaingan satu lawan satu boleh membuatkan orang terpaku menonton.
Tetapi jangan sampai provokasi mengatasi permainan itu sendiri.
Kita mahu melihat pemain yang berani mencabar, hebat mengawal bola dan yakin dengan kemampuan masing-masing. Pada masa sama, kita juga mahu mereka tahu menghormati orang yang berdiri di hadapan mereka.
Xiao Jian wajar mendapat perhatian atas permainannya dan ketenangan yang ditunjukkannya dalam klip tersebut.
Bukan kerana dia perlu menjadi sempurna tetapi kerana sikap seperti itu mengingatkan kita bahawa seseorang boleh bersaing dengan bersungguh-sungguh tanpa perlu membalas setiap provokasi.
Menang dengan skill memang hebat. Tapi apabila skill datang bersama adab, itu yang membuatkan orang betul-betul respect.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.