Dengar playlist penuh di sini
.

Kematian seseorang ketika berada dalam tahanan polis bukan perkara kecil. Lebih-lebih lagi apabila kematiannya meninggalkan pelbagai persoalan yang masih belum terjawab.
Itulah yang berlaku kepada Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42 tahun, yang meninggal dunia selepas berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 1 Oktober lalu.
Apa yang mengundang perhatian ramai ialah dakwaan mengenai kecederaan pada tubuh Allahyarham yang dibangkitkan oleh pihak keluarga menerusi peguam mereka. Malah, laporan menyebut terdapat 21 kecederaan pada tubuhnya.
Persoalannya, bagaimana kecederaan sedemikian boleh berlaku ketika seseorang berada dalam tahanan?
Kita perlu faham bahawa seseorang yang ditahan polis belum tentu bersalah. Dia mungkin disyaki melakukan kesalahan, sedang disiasat atau bakal didakwa di mahkamah. Namun, selagi belum dibuktikan bersalah, haknya sebagai manusia tetap perlu dihormati.
Lebih penting, apabila seseorang berada di dalam lokap, keselamatan dirinya berada di bawah tanggungjawab pihak yang mengendalikan tahanan tersebut.
Keluarga yang menghantar atau mengetahui insan tersayang mereka berada dalam tahanan tentunya mengharapkan dia berada dalam keadaan selamat. Tidak pernah terlintas bahawa suatu hari nanti mereka mungkin menerima berita kematian, apatah lagi apabila terdapat kecederaan yang memerlukan penjelasan.
Susulan perkembangan kes ini, polis memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan. IPCC juga telah memulakan siasatan berhubung kemungkinan salah laku.
Ini perkembangan yang perlu diberi perhatian. Namun, siasatan sahaja belum menjawab semua persoalan. Rakyat dan keluarga Allahyarham berhak mengetahui hasilnya, termasuk bagaimana kecederaan itu berlaku dan sama ada wujud mana-mana pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.
Kita tidak boleh terus menuding jari kepada mana-mana individu tanpa bukti. Begitu juga, kita tidak sepatutnya menganggap persoalan keluarga sebagai sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada ahli keluarga sendiri. Sudah tentu kita mahukan jawapan, bukan sekadar kenyataan bahawa siasatan sedang dijalankan.
Keadilan bukan tentang siapa yang ditahan, apa kesalahan yang disyaki dilakukan atau bagaimana latar belakang seseorang. Keadilan ialah hak setiap manusia, termasuk mereka yang berada di sebalik pintu lokap.
Apa=apa pun, persoalan yang perlu dijawab bukan sekadar mengapa Noorizwan meninggal dunia tetapi bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan apakah langkah yang akan diambil supaya ia tidak berulang.
Jangan sampai keluarga yang kehilangan insan tersayang terpaksa terus menunggu, sedangkan persoalan tentang kematian itu semakin tenggelam ditelan masa.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.