Dengar playlist penuh di sini
.
Kalau tengok perlawanan ini secara langsung, mungkin ada yang sampai lupa nak duduk diam. Belum sempat tarik nafas, sudah kena menjerit. Belum sempat reda debaran, datang pula aksi yang buat jantung macam nak melompat keluar!
Begitulah gambaran perlawanan akhir Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 apabila skuad hoki remaja negara, Young Tigers, berjaya menghadiahkan kejuaraan kepada Malaysia selepas penantian selama 15 tahun.
Namun, perjalanan menuju kemenangan bukanlah semudah yang disangka.
Dalam perlawanan menentang Pakistan pada 24 Oktober lalu, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan 0-2. Ketika itu, penyokong pastinya mula rasa tidak senang duduk. Ada yang mungkin sudah menggenggam tangan, ada yang tak senang duduk di kerusi dan ada juga yang hanya mampu berdoa dalam hati.
Tetapi Young Tigers belum mengangkat bendera putih!
Muhammad Adam Asyraf Johari berjaya merapatkan kedudukan kepada 1-2 pada minit ke-25. Kemudian, D. Gunaseelan muncul sebagai penyelamat apabila meledakkan gol penyamaan pada minit ke-49.
Daripada ketinggalan dua gol, Malaysia berjaya mengikat kedudukan 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Kalau sepanjang permainan sudah cukup mendebarkan, babak penentuan penalti pula boleh dikatakan ujian kesabaran paling besar buat penyokong!
Di sinilah debaran sebenar bermula!
Empat pemain Malaysia tampil menyempurnakan pukulan penalti masing-masing. Adam Asyraf, Gagandeep Singh, Rahuul Fazrien dan Aferull Syah berjaya menjalankan tugas dengan baik.
Dalam masa yang sama, penjaga gol negara, Mohamad Adib Amsyar menjadi benteng penting apabila berjaya menyelamatkan dua percubaan penalti Pakistan.
Akhirnya, segala debaran terjawab apabila Aferull Syah menyempurnakan pukulan penalti terakhir yang mengesahkan kemenangan Malaysia 4-3 dalam penentuan shoot-out!
Bayangkan perasaan ketika pukulan terakhir itu berjaya. Yang bersorak dan menjerit bagai nak rak, memang boleh sakit tekak dibuatnya!
Untuk rekod, Malaysia kali terakhir menjuarai kejohanan ini pada edisi sulung tahun 2011. Selepas 15 tahun, trofi Piala Sultan Johor akhirnya kembali menjadi milik negara.
Tetapi di sebalik sorakan, kegembiraan dan detik yang mungkin membuatkan penyokong hilang suara, ada sesuatu yang jauh lebih besar untuk kita hargai.
Young Tigers mengajar kita bahawa ketinggalan bukan bermakna sudah kalah. Dua gol di belakang tidak membuatkan mereka berhenti berusaha. Mereka terus melawan, percaya kepada kemampuan sendiri dan memberikan segala-galanya sehingga ke saat terakhir.
Kemenangan ini juga bukan hasil usaha seorang pemain semata-mata. Adam Asyraf dan Gunaseelan menyumbang jaringan dalam permainan, empat pemain menyempurnakan pukulan penalti, manakala Adib Amsyar memastikan gawang negara terus dipertahankan ketika saat genting.
Setiap seorang ada peranan. Setiap usaha membawa makna.
Mungkin nama mereka belum sepopular atlet negara yang lain tetapi perjuangan mereka layak mendapat perhatian dan penghargaan kita.
Bravo Young Tigers! Terima kasih kerana memberikan rakyat Malaysia satu lagi sebab untuk berbangga.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.