Dengar playlist penuh di sini
.
Sejak kebelakangan ini, timbul persoalan apabila kerajaan United Kingdom (UK) menggalakkan rakyatnya menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas yang cukup untuk bertahan selama 72 jam sekiranya berlaku kecemasan.
Malah, kempen yang dikenali sebagai Be Ready ini mula menarik perhatian ramai kerana ia muncul ketika dunia sedang berdepan pelbagai ketegangan geopolitik, termasuk konflik Rusia-Ukraine dan ketidakstabilan di beberapa rantau.
Jadi, adakah UK sebenarnya sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperangan?
Sebenarnya bukan semata-mata kerana ancaman perang.
Pada 22 Oktober 2026, kerajaan UK melancarkan kempen Be Ready yang menggalakkan setiap isi rumah mempunyai bekalan asas untuk bertahan sekurang-kurangnya tiga hari sekiranya berlaku gangguan kecemasan.
Antara yang disarankan termasuk air minuman, makanan tahan lama, lampu suluh, bateri, radio, power bank dan peti pertolongan cemas.
Mengapa perlu sampai begitu?
Menurut kerajaan UK, gangguan perkhidmatan asas boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti cuaca ekstrem, banjir, gangguan bekalan elektrik, masalah rangkaian komunikasi serta ancaman serangan siber.
Dalam keadaan tertentu, gangguan terhadap kemudahan penting boleh menyebabkan bekalan air, elektrik dan internet terjejas selama beberapa hari.
Persediaan ini membolehkan keluarga menguruskan keperluan sendiri sementara bantuan kecemasan disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Tetapi kenapa sekarang?
Kita tidak boleh menafikan bahawa keadaan keselamatan dunia ketika ini semakin kompleks.
Konflik Rusia-Ukraine, ketegangan hubungan antara kuasa besar serta ancaman terhadap infrastruktur kritikal menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh kerajaan negara-negara Eropah.
Jadi langkah UK ini turut dilihat dalam konteks usaha meningkatkan ketahanan negara menghadapi pelbagai kemungkinan.
Namun, penting untuk difahami bahawa kempen Be Ready bukan pengumuman bahawa peperangan bakal meletus atau arahan kepada rakyat untuk bersiap menghadapi serangan tentera.
Bagaimana pula dengan malaysia?
Setakat ini, kempen UK tersebut bukan arahan kepada rakyat Malaysia dan tidak bermaksud negara kita bakal terlibat dalam peperangan.
Bagaimanapun, tidak salah jika kita mengambil sedikit iktibar daripada langkah tersebut.
Bayangkan jika berlaku banjir besar, gangguan bekalan air, elektrik terputus atau bencana yang menyebabkan kita sukar mendapatkan keperluan harian.
Bukankah lebih baik jika kita sudah mempunyai sedikit persediaan?
Tidak perlu sampai memborong barang atau memenuhi stor dengan makanan bertin. Cukuplah bermula dengan menyimpan air minuman, makanan kering, ubat-ubatan penting, lampu suluh dan power bank.
Bersedia bukan bermaksud kita menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku.
Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku esok. Tetapi sebagai ketua keluarga dan ibu bapa, sedikit persediaan boleh membantu melindungi orang tersayang ketika keadaan tidak berjalan seperti biasa.
Mungkin inilah perkara paling penting yang boleh kita pelajari daripada kempen UK tersebut.
Bukan untuk hidup dalam ketakutan tetapi supaya kita tidak terlalu panik apabila berdepan kecemasan.
Okey Geng?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.