Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Geng Ketagih Drama AI: Tak Kisah Pun Cerita Stereotype?

Wajah sempurna, emosi mengagumkan dan teknologi semakin canggih. Dunia hiburan sedang menyaksikan satu fenomena baharu yang sukar diabaikan.

Pernah tak korang menonton drama yang jalan ceritanya lebih kurang sama sahaja tetapi tetap tak boleh berhenti menonton? Kalau melibatkan drama AI, nampaknya ramai yang boleh mengaku!

Bayangkan, baru episod pertama kita sudah boleh agak siapa penjahatnya, siapa sebenarnya CEO kaya yang menyamar, siapa anak yang terpisah daripada ibu sejak kecil dan siapa pula yang bakal dianiaya. Tetapi peliknya, kita tetap sanggup menghabiskan 50 episod!

Cerita stereotype, konflik berulang-ulang tetapi jari tetap menekan butang next episode. Kenapa agaknya?

1. Pelakon Cantik Dan Handsome, Siapa Tak Teruja?

Jujurnya, faktor visual memang susah nak dinafikan. Watak wanita semuanya cantik, lelaki pula handsome belaka. Kulit flawless, wajah sempurna dan penampilan yang kadang-kadang boleh buat kita tertanya-tanya, ini drama atau pertandingan ratu cantik dan jejaka tampan?

2. Cerita Klise Pun Tak Mengapa, Tiada Plot Twist Pun Okey!

Formula drama AI ini kadang-kadang boleh dijangka. Anak hilang sejak kecil, ibu mencari anak bertahun-tahun, suami rupa-rupanya CEO kaya, isteri dianiaya, keluarga berebut harta dan watak jahat yang tidak pernah habis rancangan.

Kadang-kadang rasa macam semua drama berkongsi satu keluarga besar yang sama!

Tetapi kita tetap menonton kerana mahu tahu bagaimana rahsia terbongkar. Walaupun sudah boleh agak siapa sebenarnya anak CEO itu, kita masih mahu melihat babak semua orang terkejut apabila kebenaran akhirnya diketahui.

3. Nak Tengok Sejauh Mana Hebatnya Teknologi AI

Ini mungkin antara sebab paling menarik. Kita bukan sekadar menonton cerita tetapi sebenarnya teruja melihat kemampuan teknologi AI menghasilkan watak yang kelihatan seperti manusia sebenar.

Cuba perhatikan mimik muka, pergerakan mata, bahasa tubuh, ekspresi ketika menangis dan marah, malah cara watak menyampaikan dialog.

Ada kalanya kita sendiri kagum melihat bagaimana teknologi ini semakin mampu meniru emosi manusia. Kita jadi tertanya-tanya, kalau sekarang pun sudah begini, bagaimana pula beberapa tahun akan datang?

4. AI Buat Silap Pun Kita Boleh Pejam Mata!

Ini paling kelakar. Kadang-kadang kecacatan dalam drama AI memang jelas kelihatan. Pergerakan mulut tidak selari dengan dialog, objek muncul dan hilang, scene yang sama berulang malah ekspresi muka boleh berubah dalam sekelip mata.

Tetapi kita relaks sahaja. Ada yang siap tergelak, kemudian sambung menonton macam tiada apa-apa berlaku.

Cuba kalau kesilapan sama berlaku dalam drama lakonan manusia sebenar. Silap sedikit sahaja, mungkin sudah ada yang rakam, muat naik dan jadikan bahan kecaman. Belum sempat episod seterusnya keluar, sudah viral!

Nampaknya, drama AI mendapat sedikit keistimewaan. Kita tahu ia belum sempurna, jadi kita lebih mudah memaafkan kekurangannya.

AI Mungkin Belum Sempurna Tetapi Tarikannya Tetap Ada!

Apa pun, fenomena drama AI ini menarik untuk diperhatikan. Ia menunjukkan bahawa penonton bukan hanya mencari jalan cerita yang hebat tetapi turut tertarik dengan visual, teknologi, rasa ingin tahu dan hiburan ringan yang mudah dinikmati.

Dalam masa sama, kita juga perlu bijak membezakan kandungan yang dijana AI dengan realiti, terutama apabila teknologi ini semakin canggih dan mampu menghasilkan watak serta situasi yang kelihatan meyakinkan.

Jadi, kalau korang antara geng yang sanggup habiskan 50 episod walaupun cerita asyik CEO menyamar, anak hilang dan ibu muncul semula, jangan malu mengaku!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.