Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak baru sahaja nak bersin atau batuk, tiba-tiba terasa air kencing terkeluar sedikit? Ada juga wanita yang mengalaminya ketika ketawa terbahak-bahak, melompat atau mengangkat barang berat.
Mungkin ada yang menganggap perkara ini biasa, lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak atau apabila usia semakin meningkat. Malah ada yang sampai terbiasa memakai pelapik seluar dalam kerana bimbang kejadian sama berulang.
Tetapi tahukah anda bahawa keadaan ini sebenarnya mempunyai istilah perubatan tersendiri dan boleh dirawat?
Masalah tersebut dikenali sebagai Stress Urinary Incontinence (SUI) iaitu kebocoran air kencing yang berlaku apabila terdapat tekanan secara tiba-tiba pada pundi kencing.
Untuk memahami keadaan ini, kita perlu kenal sedikit tentang otot lantai pelvis atau pelvic floor muscles. Otot ini terletak di bahagian bawah pelvis dan berfungsi menyokong organ seperti pundi kencing serta membantu mengawal pengeluaran air kencing.
Apabila otot lantai pelvis menjadi lemah atau mengalami kerosakan, ia mungkin tidak dapat memberikan sokongan yang mencukupi kepada pundi kencing dan saluran kencing.
Jadi, apabila seseorang wanita bersin, batuk, ketawa atau melakukan aktiviti yang meningkatkan tekanan dalam abdomen, air kencing boleh terlepas tanpa disengajakan.
Antara faktor yang boleh menyumbang kepada masalah ini ialah kehamilan dan proses bersalin. Berat bayi sepanjang kehamilan serta proses kelahiran boleh meregangkan atau mencederakan otot dan tisu sokongan di kawasan pelvis.
Selain itu, peningkatan usia, perubahan hormon ketika menopaus dan berat badan berlebihan juga boleh meningkatkan risiko. Begitu juga dengan masalah batuk berpanjangan dan sembelit kerana tekanan berulang ketika batuk atau meneran boleh membebankan otot lantai pelvis.
Namun masalah ini bukan hanya berlaku kepada wanita berusia atau mereka yang pernah bersalin. Wanita muda juga boleh mengalaminya.
Berita baiknya, masalah ini boleh dirawat. Antara kaedah yang disarankan ialah senaman Kegel yang bertujuan menguatkan otot lantai pelvis.
Senaman ini melibatkan pergerakan mengetatkan dan merehatkan otot lantai pelvis secara terkawal. Jika dilakukan dengan teknik yang betul dan konsisten, ia boleh membantu mengurangkan masalah kebocoran air kencing.
Malah latihan otot lantai pelvis yang dipantau oleh ahli fisioterapi atau petugas kesihatan terlatih disarankan sebagai rawatan awal bagi wanita yang mengalami masalah ini.
Apa yang penting, jangan anggap terkucil setiap kali bersin sebagai perkara yang perlu diterima begitu sahaja. Jika ia kerap berlaku, mengganggu rutin harian atau membuatkan anda tidak selesa, dapatkan pemeriksaan doktor.
Tidak perlu malu untuk bercerita tentang masalah ini. Kesihatan lantai pelvis juga sebahagian daripada kesihatan wanita yang wajar diberikan perhatian.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.