Dengar playlist penuh di sini
.
Apabila doktor memberitahu seseorang perlu menjalani dialisis, berita itu pastinya bukan sesuatu yang mudah diterima. Bukan sahaja pesakit, malah ahli keluarga juga mungkin mula membayangkan pelbagai perkara, termasuk persoalan tentang berapa lama lagi orang tersayang mampu bertahan.
Ada satu tanggapan yang sering kita dengar, kononnya apabila seseorang sudah mula menjalani dialisis, hayatnya tidak akan panjang. Tetapi sejauh mana benarnya anggapan ini?
Sebenarnya, dialisis bukan bermaksud seseorang itu sudah berada di penghujung hayat. Rawatan ini membantu mengambil alih sebahagian fungsi buah pinggang yang sudah tidak mampu menapis bahan buangan, lebihan air dan garam mineral daripada darah dengan baik.
Apabila buah pinggang mengalami kegagalan fungsi yang serius, dialisis boleh membantu pesakit meneruskan kehidupan. Malah, ada pesakit yang masih mampu bekerja, menguruskan keluarga dan menjalani aktiviti harian walaupun perlu menjalani rawatan secara berkala.
Namun, kita juga tidak boleh menafikan bahawa pesakit yang memerlukan dialisis berdepan risiko kesihatan yang lebih tinggi berbanding individu yang mempunyai fungsi buah pinggang normal.
Menurut National Kidney Foundation, jangka hayat purata pesakit dialisis sering dianggarkan sekitar lima hingga 10 tahun. Bagaimanapun, angka ini bukan penentu hayat setiap individu kerana ada juga pesakit yang mampu hidup selama 20 hingga 30 tahun dengan rawatan tersebut.
Jadi, mengapa ada pesakit yang mampu bertahan lama, manakala ada pula yang keadaan kesihatannya merosot dalam tempoh lebih singkat?
Antara faktor yang memainkan peranan ialah usia, tahap kesihatan keseluruhan, penyakit lain seperti diabetes dan masalah jantung, risiko jangkitan serta sejauh mana pesakit mengikuti pelan rawatan yang ditetapkan.
Satu lagi perkara yang ramai tidak tahu, bukan semua orang yang menjalani dialisis perlu melakukannya sepanjang hayat. Jika dialisis diperlukan akibat kecederaan buah pinggang akut, rawatan itu mungkin bersifat sementara sehingga fungsi buah pinggang pulih. Namun, bagi kegagalan buah pinggang kronik tahap akhir, dialisis biasanya diperlukan secara berterusan kecuali pesakit menjalani pemindahan buah pinggang.
Sebab itulah penting untuk pesakit tidak ponteng rawatan, mengambil ubat seperti diarahkan, menjaga pemakanan dan pengambilan air mengikut nasihat doktor serta hadir ke pemeriksaan susulan.
Jadi memulakan dialisis bukan bermakna kehidupan seseorang sudah hampir berakhir. Ia sememangnya satu perubahan besar yang memerlukan kekuatan fizikal dan emosi tetapi masih ada ruang untuk menjalani kehidupan yang bermakna.
Jangan jadikan dialisis sebagai tanda untuk berhenti berharap. Pada masa sama, jangan tunggu sehingga buah pinggang rosak teruk sebelum mula mengambil berat tentang kesihatannya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.