Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tengok seseorang sedang membuat tattoo? Jarum kecil bergerak berulang kali di atas kulit, kadangkala mengambil masa berjam-jam untuk menyiapkan satu lukisan. Kalau dibayangkan pun boleh terasa ngilu!
Namun peliknya, ramai yang sanggup melalui pengalaman tersebut. Ada yang membuat tattoo pertama, kemudian datang lagi untuk menambah corak baharu. Jadi sejauh mana sebenarnya kesakitan yang terlibat dan apa kesannya kepada tubuh?
Sebenarnya proses membuat tattoo bukan sekadar meletakkan dakwat di atas permukaan kulit. Jarum mesin tattoo bergerak pantas dan menusuk kulit berulang kali untuk memasukkan dakwat ke lapisan dermis iaitu lapisan kulit di bawah epidermis.
Sebab itulah proses ini boleh terasa pedih seperti dicakar atau digesel dengan benda tajam secara berterusan. Tahap kesakitan pula berbeza mengikut individu, lokasi tattoo dan tempoh sesi.
Kawasan yang mempunyai banyak hujung saraf, kulit lebih nipis atau kurang lapisan lemak seperti tulang rusuk, buku lali dan bahagian tertentu pada tangan boleh terasa lebih menyakitkan.
Apa yang mungkin ramai tidak fikirkan ialah setiap kali jarum menembusi kulit, ia menghasilkan kecederaan kecil yang menyebabkan tubuh memulakan proses penyembuhan. Sebab itu kawasan yang baru ditatukan biasanya kelihatan kemerahan, sedikit bengkak dan terasa sensitif.
Dalam keadaan biasa, kulit akan pulih secara berperingkat. Namun risiko kesihatan tetap wujud terutamanya jika proses tattoo dilakukan menggunakan peralatan yang tidak disterilkan dengan betul.
Antara risiko yang perlu diketahui ialah jangkitan kulit, tindak balas alahan terhadap dakwat dan pembentukan parut. Penggunaan jarum yang tercemar juga boleh mendedahkan seseorang kepada jangkitan penyakit bawaan darah seperti hepatitis B dan hepatitis C.
Malah sesetengah individu boleh mengalami alahan terhadap pigmen dakwat, termasuk selepas tattoo kelihatan sembuh. Reaksi ini boleh menyebabkan kegatalan, ruam atau benjolan pada kawasan tertentu.
Tetapi kalau prosesnya menyakitkan dan ada pula risiko kesihatan, kenapa masih ramai sanggup melakukannya?
Jawapannya bukan semata-mata kerana mengikut trend. Bagi sesetengah orang, tattoo mempunyai nilai sentimental yang sangat besar. Ada yang mengabadikan nama insan tersayang, tarikh penting atau simbol yang mengingatkan mereka kepada satu fasa kehidupan.
Ada juga yang melihatnya sebagai seni dan cara mengekspresikan identiti diri. Kesakitan yang dialami sepanjang proses tersebut dianggap sebahagian daripada pengalaman untuk mendapatkan sesuatu yang mereka mahukan.
Namun ada satu lagi perkara yang tidak patut dilupakan, khususnya bagi mereka yang beragama Islam.
Dalam Islam, perbuatan membuat tattoo kekal dengan memasukkan dakwat ke dalam kulit adalah dilarang. Larangan ini disebut dalam hadis sahih yang menyentuh perbuatan membuat dan meminta tattoo.
Jadi bagi umat Islam, keputusan untuk membuat tattoo bukan sekadar soal minat terhadap seni atau sanggup menahan kesakitan. Ia turut melibatkan soal pegangan agama.
Bagi mereka yang belum mempunyai tattoo, mungkin elok fikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Jangan kerana terikut-ikut trend atau terpesona dengan sesuatu corak, kita mengetepikan perkara yang lebih besar.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.