Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Duduk Di Rumah Tapi Masih Dipenjara, Bagaimana Tu?

Rumah sendiri mungkin jadi tempat menjalani hukuman, tetapi itu tidak bermakna seseorang sudah menikmati kebebasan sepenuhnya.
handcuffs, shackles, guilty, sentence, locked, trapped, prison, arrest, unlocked, custody, inside, out, judgement, justice, jail, sm, seduction, sensuality, temptation, fetish, transparent, isolated, no background, masked

Sejak kebelakangan ini, istilah ‘tahanan rumah’ semakin kerap diperkatakan, terutama apabila timbul perbincangan mengenai kemungkinan seseorang menjalani hukuman penjara dari kediaman sendiri.

Tetapi bagaimana sebenarnya tahanan rumah berfungsi? Kalau seseorang itu sudah berada di rumah, adakah bermakna dia bebas seperti orang lain?

Secara ringkas, tahanan rumah merujuk kepada kaedah seseorang menjalani tempoh tahanan atau hukuman di kediaman yang ditetapkan, bukannya di dalam bangunan penjara. Namun individu berkenaan masih tertakluk kepada syarat dan kawalan pihak berkuasa.

Ini bermakna, seseorang yang menjalani tahanan rumah tidak boleh sesuka hati keluar bekerja, berjalan-jalan, bercuti atau melakukan aktiviti seperti biasa. Pergerakannya boleh dihadkan dan lawatan daripada orang luar juga boleh dikawal.

Malah penggunaan alat telekomunikasi, pergaulan serta aktiviti harian juga boleh tertakluk kepada syarat tertentu. Jika syarat yang ditetapkan dilanggar, individu berkenaan boleh diarahkan kembali ke penjara.

Adakah semua banduan boleh memohon tahanan rumah?

Tidak. Tahanan rumah bukan kemudahan yang secara automatik diberikan kepada semua banduan. Pelaksanaannya bergantung pada asas undang-undang, kelayakan serta keputusan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa.

Dalam konteks Malaysia, satu perkara penting yang perlu difahami ialah cadangan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah yang sedang dibangunkan kerajaan berbeza daripada pelaksanaan tahanan di rumah melalui pengampunan bersyarat.

Cadangan undang-undang tersebut antaranya bertujuan membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu menjalani tahanan di rumah sementara menunggu perbicaraan. Ia juga dilihat sebagai salah satu usaha menangani kesesakan penjara.

Bagaimana pula dengan kes Datuk Seri Najib Razak?

Kes bekas Perdana Menteri itu menjadi antara contoh yang mencetuskan perbincangan mengenai tahanan rumah di Malaysia.

Pada 18 September 2026, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman kes SRC International di kediaman sehingga 23 Ogos 2028.

Pada 12 November 2026, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan beberapa syarat yang perlu dipatuhi, termasuk tidak meninggalkan kediaman tanpa kebenaran bertulis, tidak terlibat dalam aktiviti politik, tidak membuat kenyataan kepada media atau media sosial serta sekatan terhadap penggunaan alat telekomunikasi.

Lawatan orang luar juga memerlukan kebenaran bertulis. Jika syarat dilanggar, beliau boleh dikembalikan ke penjara.

Jadi, penting untuk kita faham bahawa duduk di rumah tidak semestinya bermaksud seseorang itu sudah bebas daripada hukuman.

Tahanan rumah tetap melibatkan sekatan, pemantauan dan tanggungjawab untuk mematuhi arahan yang ditetapkan. Bezanya, tempat seseorang menjalani tahanan itu sahaja yang berubah.

Sebab itulah istilah tahanan rumah tidak wajar disamakan dengan kebebasan sepenuhnya. Rumah mungkin menjadi tempat menjalani hukuman tetapi hukuman itu sendiri masih berjalan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.