Dengar playlist penuh di sini
.
Dulu kalau duit tak cukup, kita tangguhkan dulu hasrat nak membeli. Tunggu gaji masuk, kumpul duit atau lupakan sahaja kalau barang itu bukan keperluan. Tetapi sekarang, semuanya terasa lebih mudah. Nampak barang berkenan, klik sahaja. Tak cukup duit? Tak mengapa, bayar kemudian!
Inilah kemudahan Buy Now, Pay Later (BNPL) yang semakin popular, khususnya dalam kalangan golongan muda termasuk Gen Z.
Sekali pandang, BNPL memang nampak menarik. Tak perlu keluarkan duit yang banyak sekaligus, bayaran boleh dipecahkan kepada beberapa ansuran dan barang pula boleh terus dinikmati.
Tetapi di sebalik kemudahan itu, ada satu persoalan yang mungkin ramai terlepas pandang. Adakah kita benar-benar mampu membeli barang tersebut atau sekadar mampu membayar ansuran kecil yang ditawarkan?
Bayangkan seseorang membeli kasut baharu dengan bayaran ansuran, kemudian membeli fon kepala, pakaian dan barangan lain menggunakan kemudahan sama.
Setiap satu nampak murah. RM30 di sini, RM50 di sana. Apabila dicampurkan, jumlah komitmen bulanan mungkin sudah mencecah ratusan ringgit.
Lebih membimbangkan apabila seseorang menggunakan beberapa platform BNPL serentak. Setiap aplikasi mempunyai jadual bayaran tersendiri. Akhirnya belum sempat menikmati gaji, sebahagian duit sudah diperuntukkan untuk membayar pembelian bulan sebelumnya.
Di sinilah masalah boleh bermula.
Bukan BNPL itu sendiri yang semestinya salah. Jika digunakan secara berhemah, kemudahan ini boleh membantu mengurus pembelian tertentu. Namun apabila ia menjadi alasan untuk membeli sesuatu yang sebenarnya di luar kemampuan, keadaan boleh berubah menjadi perangkap kewangan.
Ada juga yang mula menganggap ansuran kecil sebagai perkara biasa sehingga terlupa bahawa setiap pembelian tetap satu komitmen hutang yang perlu diselesaikan.
Jangan pula sampai terpaksa ikat perut menjelang hujung bulan hanya kerana terlalu banyak barang yang dibeli pada bulan sebelumnya.
Lebih penting, jangan jadikan gaya hidup orang lain sebagai ukuran kemampuan sendiri. Melihat rakan bertukar telefon, membeli kasut mahal atau kerap membeli-belah bukan bermakna kita juga perlu mengikut rentak yang sama.
Kalau duit belum cukup, tak salah menunggu. Kalau barang itu bukan keperluan, tak salah juga menangguhkan pembelian.
Gen Z perlu tahu bahawa kebebasan kewangan bukan bermaksud boleh membeli apa sahaja yang dihajati. Sebaliknya ia bermula apabila kita tahu mengawal kehendak dan membuat keputusan mengikut kemampuan sendiri.
Jangan sampai seronok membuka bungkusan hari ini tetapi pening kepala memikirkan bil pada bulan hadapan!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.