Dengar playlist penuh di sini
.

Setiap kali tiba musim keputusan peperiksaan dan anugerah kecemerlangan sekolah, ada sahaja perdebatan tentang Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Persoalannya selepas bertahun-tahun PBD dilaksanakan, mengapa masih ada ibu bapa yang lebih yakin dengan keputusan peperiksaan berbanding penilaian sepanjang tahun?
Adakah mereka tidak memahami sistem pendidikan atau sebenarnya sistem itu sendiri masih belum cukup meyakinkan?
Secara asasnya PBD menilai perkembangan murid secara berterusan. Bukan sekadar melihat siapa pandai menjawab soalan peperiksaan tetapi juga sejauh mana seseorang murid memahami apa yang dipelajari.
Bagus kan? Dari segi konsep, memang banyak kelebihannya.
Tetapi ada satu perkara yang sering menimbulkan persoalan iaitu pertimbangan profesional guru dalam menentukan Tahap Penguasaan (TP) murid.
Kita faham guru merupakan golongan terlatih yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan. Namun, bagaimana kita memastikan pertimbangan profesional itu benar-benar dilaksanakan secara objektif dan konsisten?
Satu lagi persoalan mampukah seorang guru menilai setiap murid dengan cukup teliti, jelas dan tepat apabila sesebuah kelas menempatkan lebih 30 orang murid?
Bayangkan dalam tempoh pengajaran yang terhad, guru bukan sahaja perlu menyampaikan ilmu malah memerhati, mengenal pasti tahap kefahaman, merekod perkembangan dan membuat penilaian terhadap setiap murid. Itu belum termasuk tugasan lain.
Bukan mempertikaikan kebolehan guru tetapi sejauh mana sistem menyediakan masa, ruang dan sokongan yang mencukupi untuk mereka melaksanakan semua itu dengan berkesan?
Terseksa jiwa raga seorang cikgu..
Haaa! Macam mana pula jika wujud guru yang mempunyai murid kesayangan? Atau kemungkinan seseorang murid dilayan secara berbeza hanya kerana ibu bapanya pernah bersuara atau mempertikai sesuatu keputusan sekolah?
Agak-agak mustahil tak perkara sebegini berlaku?
Sudah tentu kita tidak boleh membuat tuduhan melulu. Namun menafikan terus kemungkinan wujudnya unsur pilih kasih atau berat sebelah pun tak boleh.
Guru juga manusia. Seperti profesion lain, mereka tidak terkecuali daripada kemungkinan melakukan kesilapan atau dipengaruhi kecenderungan peribadi.
Sebab itulah ketelusan dan mekanisme semakan amat penting.
Jika anak diberikan TP4 dan bukannya TP5, apakah bukti yang menyokong penilaian tersebut? Adakah ibu bapa mempunyai ruang untuk mendapatkan penjelasan atau memohon semakan tanpa bimbang hubungan anak dengan guru akan terjejas?
Di sinilah UASA dilihat lebih mudah difahami.
Contohnya, anak mendapat 85 markah. Ada kertas jawapan, skema pemarkahan dan kesilapan yang boleh diteliti. Walaupun peperiksaan juga tidak terlepas daripada kelemahan, sekurang-kurangnya asas pemberian markah lebih mudah diperiksa.
Berbeza dengan PBD yang turut melibatkan pemerhatian, penilaian lisan dan tugasan sepanjang pembelajaran.
Lebih menarik apabila timbul soal anugerah kecemerlangan. Apakah ukuran sebenar untuk menentukan murid paling cemerlang? Adakah berdasarkan TP, keputusan UASA atau gabungan beberapa kriteria?
Bukankah lebih baik jika kaedah pemilihan dijelaskan sejak awal supaya tidak timbul salah faham?
Dalam masa yang sama, kita perlu berlaku adil kepada guru yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Mereka juga berdepan beban kerja yang bukan sedikit.
Hakikatnya PBD dan UASA bukan dua sistem yang sepatutnya bersaing. UASA sendiri merupakan sebahagian daripada pentaksiran sumatif dalam kerangka PBD.
Namun apabila sesuatu penilaian banyak bergantung pada pertimbangan manusia, sistem semak dan imbang perlu cukup kukuh untuk melindungi semua pihak.
Bukan soal kita mempercayai guru atau tidak. Tetapi adakah sistem itu cukup telus, praktikal dan adil untuk memastikan setiap murid mendapat penilaian yang sewajarnya?
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.