Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Adab Menjawab Pertanyaan Orang Lebih Tua Dengan Berhemah

Kita sebagai orang muda terlalu cepat melenting. Nada suara berubah, jawapan jadi sinis atau respon diberi secara sarkastik.

Dalam kehidupan seharian, kita tak dapat lari daripada situasi ditanya oleh orang yang lebih tua. Sama ada saudara-mara, jiran, rakan sekerja senior, atau kenalan lama, soalan-soalan yang diajukan selalunya hampir sama. Ada yang bertanya tentang kerja, perkahwinan, anak, kesihatan, atau kehidupan secara umum. Bagi orang muda, soalan-soalan ini kadang-kadang terasa sensitif, penat untuk dijawab, atau seolah-olah terlalu peribadi.

Namun, apa yang sering kita terlepas pandang ialah niat di sebalik pertanyaan itu.

Kebanyakan orang lebih tua bukan berniat untuk menyibuk, menyindir, atau menjatuhkan kita. Sebenarnya mereka sekadar mahu memulakan perbualan, atau dalam istilah mudah, break the ice. Mereka membesar dalam zaman di mana bertanya khabar adalah satu bentuk keakraban, bukan pencerobohan ruang peribadi seperti yang sering difahami oleh generasi hari ini.

Masalah timbul apabila kita sebagai orang muda terlalu cepat melenting. Nada suara berubah, jawapan jadi sinis, atau respon diberi secara sarkastik. Ada yang menjawab dengan ayat pedas, ada yang terus memotong perbualan, dan ada juga yang mempamerkan wajah tidak puas hati. Mungkin pada saat itu kita rasa lega kerana “berani bersuara”, tetapi hakikatnya kita sedang mengabaikan satu nilai penting: adab.

Adab bukan bermaksud kita perlu menjawab semuanya dengan panjang lebar atau mendedahkan perkara yang kita tidak selesa kongsikan. Adab bermaksud cara kita menyampaikan jawapan. Kita masih boleh menjaga sempadan, tetapi dengan bahasa yang sopan dan berlapik.

Sebagai contoh, jika soalan itu tentang perkara sensitif seperti perkahwinan atau kerjaya, jawapan ringkas sudah memadai. Ayat seperti “Doakan ya,”, “Sekarang masih fokus kerja,” atau “Insya-Allah, perlahan-lahan” sebenarnya sudah cukup untuk menutup perbualan tanpa melukakan hati sesiapa. Jawapan begini bukan tanda kita lemah, sebaliknya tanda kita matang dan tahu membawa diri.

Perlu juga difahami bahawa jurang generasi memainkan peranan besar. Cara orang dahulu berkomunikasi sangat berbeza dengan cara kita hari ini. Mereka lebih terbuka bertanya, manakala generasi muda lebih menjaga privasi. Bila dua dunia ini bertembung, salah faham mudah berlaku jika tiada empati.

Satu peringatan yang wajar kita simpan ialah satu hari nanti, kita juga akan berada di tempat mereka. Kita juga akan menua, dan kita juga mungkin akan bertanya soalan yang sama,bukan ada niat jahat pun, tetapi kerana itu sahaja cara untuk bertegur sapa dan menunjukkan keprihatinan.Mestu waktu tu kita berharap untuk dilayan dengan hormat, bukan sindiran.

Adab menjawab pertanyaan orang lebih tua sebenarnya mencerminkan kualiti diri dan nilai yang kita pegang. Ia bukan soal siapa betul atau siapa salah, tetapi soal bagaimana kita memilih untuk berinteraksi sebagai manusia yang berbeza latar belakang dan pengalaman hidup.

Akhirnya, bersikap berhemah tidak pernah merugikan. Kata-kata yang lembut lebih mudah diterima, dan sikap yang sabar lebih meninggalkan kesan. Bila kita belajar mengawal reaksi hari ini, kita bukan sahaja menjaga hubungan, tetapi sedang membina peribadi yang lebih matang untuk masa depan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.