Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Adik-beradik Lelaki Pemalas, Tapi Lepas Kahwin Function?

Isu adik-beradik lelaki yang dianggap “pemalas” di rumah ibu bapa dan dengan adik-beradik ni sangatlah biasa, dia orang ni boleh jadi sangat function lepas kahwin.

Isu adik-beradik lelaki yang dianggap “pemalas” di rumah ibu bapa dan dengan adik-beradik ni sangatlah biasa, dorang ni boleh tiba-tibajadi sangat function lepas berkahwin. Kat rumah sendiri dulu, adik lelaki sering dilihat santai, jarang ke dapur, tak biasa mengemas, malah pinggan sendiri pun nak kena tunggu orang lain angkat dan basuh. Tapi bila dah beristeri, situasinya berubah, boleh memasak, basuh pinggan, jaga anak, kemas rumah tanpa disuruh. Persoalannya, betulkah lelaki memang pemalas, atau sebenarnya dibentuk oleh persekitaran?

Hakikatnya, ramai anak lelaki dibesarkan dengan norma lama yang membezakan peranan jantina. Sejak kecil, kerja rumah sering “diwariskan” kepada anak perempuan, manakala anak lelaki diberi kelonggaran. Lama-kelamaan, kelonggaran ini menjadi kebiasaan. Bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana tidak pernah dilatih. Apabila sesuatu tugas tidak pernah menjadi tanggungjawab, minda akan menganggapnya bukan keperluan.

Apabila berkahwin, konteks berubah. Lelaki kini berada dalam sistem baharu,rumah tangga sendiri. Ada pasangan yang jelas membahagikan peranan, ada yang sama-sama bekerja, dan ada juga yang menetapkan jangkaan awal tentang kerjasama. Di sini, “fungsi” muncul kerana ada keperluan, tanggungjawab, dan kesedaran bahawa rumah tangga ialah pasukan. Tambahan pula, dorongan emosi untuk menjaga pasangan dan anak membuatkan lelaki lebih proaktif.

Namun, situasi ini sering mencetuskan rasa tidak adil dalam kalangan adik-beradik perempuan. Mereka yang sejak kecil memikul kerja rumah mungkin berasa dipinggirkan, seolah-olah tenaga mereka diambil for granted. Perasaan ini valid dan wajar diakui. Ia bukan soal cemburu, tetapi keadilan dan pengiktirafan.

Nasihat pertama untuk ibu bapa ialah mendidik tanpa membezakan jantina. Kerja rumah ialah kemahiran hidup, bukan “kerja perempuan”. Anak lelaki yang diajar mengemas, memasak dan mengurus diri sejak kecil akan lebih bersedia membina rumah tangga yang seimbang. Anak perempuan pula tidak dibebankan secara tidak adil.

Kepada adik-beradik perempuan, penting untuk berkomunikasi secara matang. Luahkan keletihan dan keperluan, bukan dengan menyindir, tetapi dengan menetapkan sempadan. Berkongsi tugas bukan bermakna kurang berbakti, tetapi lebih adil.

Kepada adik-beradik lelaki, sedarlah bahawa kemampuan yang muncul selepas kahwin sebenarnya sudah ada sejak dulu. Gunakan kelebihan itu untuk membantu di rumah ibu bapa juga. Tanggungjawab tidak bermula hanya selepas bergelar suami.

Akhirnya, rumah yang harmoni dibina atas asas saling menghormati, bukan pembahagian peranan yang berat sebelah. Rajin bukan status selepas kahwin je, ia pilihan yang boleh dimulakan dari rumah sendiri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.