Dengar playlist penuh di sini
.
Baru-baru ni ramai kecoh balik pasal kes seorang bekas pelajar Malaysia yang belajar di universiti top UK, tapi disabitkan kesalahan memiliki puluhan ribu imej lucah kanak-kanak dan akhirnya dihantar pulang ke Malaysia. Yang buat ramai lagi terkejut, dia bukan calang-calang orang, dia genius dalam bidang akademik, sampai profesor sendiri kata dia dalam kalangan 5 peratus terbijak dalam matematik. Ini yang buat ramai orang tertanya-tanya, macam mana seseorang yang bijak dan nampak biasa boleh ada kecenderungan sebegini.
Dari segi sains, pedofilia diklasifikasikan sebagai satu jenis paraphilia, iaitu ketertarikan seksual yang tak normal terhadap kanak-kanak. Penyelidik masih kaji punca sebenar, tapi ada beberapa faktor yang dikaitkan, antaranya perbezaan struktur dan fungsi otak terutama di bahagian yang kawal tarikan seksual dan kawalan impuls, faktor genetik, serta pengalaman semasa zaman kanak-kanak sendiri seperti pernah jadi mangsa penderaan. Penting untuk faham, kecenderungan ni bukan sesuatu yang orang tu pilih, tapi bertindak atasnya adalah jenayah serius dan tak boleh dimaafkan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Yang paling membimbangkan, ramai daripada individu ni nampak biasa je dari luar, ada yang bijak, berpendidikan tinggi, kerja bagus, malah dipercayai dalam komuniti. Sebab tu kita sebagai ibu bapa tak boleh berharap semata-mata kepada “look” atau gerak hati untuk kenal siapa yang berbahaya.
Apa yang lebih penting, kita fokus pada langkah perlindungan yang praktikal. Ajar anak konsep body safety sejak kecil, iaitu bahagian badan mana yang privat dan tak boleh disentuh sesiapa. Bina komunikasi terbuka supaya anak selesa cerita apa-apa yang buat diorang tak selesa, tanpa rasa takut kena marah. Pantau penggunaan gadget dan media sosial anak, tapi buat dengan cara yang tak buat diorang rasa dikawal ketat sampai tertutup terus. Kenali siapa yang selalu bersama anak, sama ada di sekolah, tuisyen atau aktiviti luar.
Yang paling penting, kalau anak cerita sesuatu yang mencurigakan, jangan sekali-kali abaikan atau anggap remeh. Percaya anak dan ambil tindakan segera. Keselamatan anak-anak kita bermula dari kesedaran dan komunikasi yang berterusan dalam keluarga.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.