Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Anak Kita Skor Exam Tapi Kenapa Prestasi PISA “Kureng”?

Apa sebenarnya yang diuji PISA dan kenapa keputusan ini patut buat kita sebagai ibu bapa berhenti sekejap dan berfikir?

Kita selalu tumpang bangga bila anak balik dengan keputusan peperiksaan yang cantik. A penuh, markah tinggi, ranking bagus. Lagi-lagi kalau anak boleh jawab soalan peperiksaan tanpa banyak masalah.

Tapi bila keputusan PISA 2025 keluar, ada satu perkara yang buat kita patut berhenti sekejap dan fikir.

Kenapa keputusan peperiksaan dan prestasi PISA nampak macam membawa cerita yang berbeza?

Sebelum pergi jauh, PISA tu sebenarnya apa?

PISA ialah singkatan kepada Programme for International Student Assessment, iaitu penilaian antarabangsa yang dijalankan oleh OECD atau Organisation for Economic Co-operation and Development. Senang cerita, PISA melihat sejauh mana pelajar berusia sekitar 15 tahun dari pelbagai negara boleh menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menghadapi situasi dan masalah kehidupan sebenar.

Jadi, PISA bukan peperiksaan sekolah biasa.

PISA tidak semata-mata bertanya, “Apa yang kamu sudah hafal?”

Ia lebih banyak bertanya, “Kamu tahu benda ini. Sekarang, boleh tak kamu gunakan pengetahuan itu untuk selesaikan masalah yang kamu tak pernah jumpa sebelum ini?”

Dalam PISA 2025, bidang utama yang dinilai ialah Sains, diikuti Matematik dan Reading. Penilaian ini turut melihat kemahiran seperti penyelesaian masalah dan penggunaan pengetahuan dalam dunia sebenar.

Dan keputusan Malaysia memang membuka mata.

Purata Malaysia ialah 419 untuk Sains, 397 untuk Matematik dan 393 untuk Reading, semuanya di bawah purata OECD.

Lebih membimbangkan, hanya 35% pelajar Malaysia mencapai sekurang-kurangnya Level 2 dalam Matematik, 44% dalam Reading dan 54% dalam Sains. Level 2 ialah tahap asas di mana pelajar mula menunjukkan keupayaan menggunakan pengetahuan dalam situasi yang lebih praktikal.

Dalam Matematik, contohnya, pelajar pada tahap ini sekurang-kurangnya boleh memahami situasi mudah dan mengenal pasti bagaimana ia boleh diterjemahkan kepada bentuk matematik.

Jadi persoalannya bukan sekadar, “Anak kita boleh buat Matematik atau tidak?”

Tetapi…

“Bila masalahnya dibungkus dalam situasi yang mereka tak pernah jumpa, masih bolehkah mereka fikir jalan keluarnya?”

Begitu juga dengan Reading.

Hampir tiada pelajar Malaysia mencapai Level 5 atau lebih dalam Reading. Pada tahap ini, pelajar perlu berupaya memahami teks yang panjang, berdepan konsep yang lebih abstrak dan membezakan fakta dengan pendapat berdasarkan petunjuk yang tidak dinyatakan secara terang-terangan.

Dan zaman sekarang, kemahiran macam inilah yang semakin penting.

Sebab anak bukan lagi hidup dalam dunia yang kekurangan maklumat.

Masalah kita sekarang ialah terlalu banyak maklumat.

Google ada. TikTok ada. AI ada. Jawapan pun boleh muncul dalam beberapa saat.

Malah, PISA 2025 turut melihat bagaimana pelajar menggunakan teknologi dalam pembelajaran, termasuk kemahiran belajar dalam dunia digital.

AI boleh jadi alat pembelajaran yang sangat berguna.

Tetapi kalau anak terus meminta AI memberikan jawapan tanpa memahami bagaimana jawapan itu diperoleh, kita mungkin sedang melatih mereka untuk mendapat jawapan, bukan untuk mencari jawapan.

Itulah beza yang sangat besar.

Jadi, keputusan PISA ini bukan bermaksud anak-anak Malaysia tidak pandai.

PISA juga bukan pengganti kepada peperiksaan sekolah. Kedua-duanya mengukur perkara yang berbeza.

Anak dapat A? Alhamdulillah.

Anak dapat markah tinggi? Syukur.

Tetapi kita juga mahu anak yang boleh membaca sesuatu yang baharu, bertanya “kenapa?”, membezakan fakta dengan pendapat, menggunakan ilmu dalam kehidupan sebenar dan berani berkata, “Saya tak tahu, tapi saya tahu bagaimana nak cari jawapannya.”

Sebab akhirnya, dunia selepas sekolah tidak datang dengan soalan yang sudah diberi tajuk bab.

Dan mungkin itulah soalan paling besar yang PISA sedang ajukan kepada kita semua.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.