Dengar playlist penuh di sini
.
Ada ibu yang sebelum anak lelakinya berkahwin, dia sudah ada satu nama dalam kepala. Bukan sekadar kenal, tetapi memang sudah berkenan. Gadis itu mungkin anak kepada kawan lama, jiran sejak kecil, atau keluarga yang memang sudah dikenali bertahun-tahun.
“Mak rasa dia sesuai dengan kamu.”
“Mak kenal keluarga dia. Orang baik-baik.”
“Dari kecil lagi mak dah kenal dia. Tak ada masalah.”
Bagi si ibu, semuanya nampak sempurna. Gadis itu cantik, sopan, berpendidikan, keluarganya lengkap dan latar belakangnya pula sudah diketahui. Jadi pada fikirannya, kenapa perlu cari jauh-jauh kalau calon menantu sudah ada di depan mata?
Masalahnya, anak lelaki itu mungkin sudah mempunyai seseorang yang dia cintai.
Dan di sinilah keadaan boleh menjadi rumit.
Si ibu mungkin tidak terus terang mengatakan dia tidak suka pilihan anak. Sebaliknya, dia mula membandingkan. “Cuba tengok anak kawan mak tu.” “Dia lain, tahu hormat orang tua.” “Keluarga dia pun baik.” Lama-lama, anak sendiri mula rasa seolah-olah pilihan hatinya sentiasa salah kerana tidak memenuhi standard yang ibunya mahukan.
Lebih menyakitkan apabila calon pilihan ibu itu mempunyai satu kelebihan yang sukar dilawan, keluarga.
Ibu mungkin lebih selesa dengan gadis yang sudah dikenali sejak kecil, datang daripada keluarga yang lengkap dan mempunyai latar belakang yang mereka faham. Sedangkan wanita yang dicintai anaknya mungkin datang daripada keluarga yang tidak sempurna. Mungkin anak yatim, ibu bapanya sudah berpisah, dibesarkan dalam keadaan susah atau sejak kecil sudah belajar berdikari sendiri.
Bagi si ibu, dia mungkin nampak “risiko”.
Tetapi bagi anak lelaki itu, mungkin dia nampak seorang wanita yang kuat, matang dan tahu menghargai kehidupan kerana pernah melalui banyak perkara seorang diri.
Persoalannya, siapa yang patut memilih?
Ibu memang mempunyai hak untuk memberikan pandangan. Dia mungkin nampak perkara yang anaknya tidak nampak kerana pengalaman hidupnya lebih banyak. Tetapi memberikan nasihat tidak sama dengan menentukan pasangan hidup anak.
Sebab selepas majlis perkahwinan selesai, ibu bukan orang yang akan tidur sebilik dengannya. Ibu bukan yang akan melalui susah senang setiap hari. Ibu juga bukan yang akan membina rumah tangga tersebut.
Anak lelakinya yang akan menjalani kehidupan itu.
Kalau calon pilihan ibu memang baik, kenalkanlah. Berikan peluang anak mengenali dia. Tetapi jangan sampai “mak dah berkenan” berubah menjadi “mak mesti dapatkan dia sebagai menantu”.
Dan kalau anak sudah memilih seseorang yang mungkin tidak mempunyai keluarga yang ibu impikan, jangan terus anggap dia tidak layak.
Kadang-kadang ibu memilih berdasarkan keluarga yang dia kenal.
Tetapi seorang lelaki memilih berdasarkan wanita yang dia mahu habiskan seluruh hidup bersamanya. Tiada istilah paksa bagi lelaki, kerana lelaki sifatnya pejuang dan dia ada kelebihan untuk memilih. Tak macam perempuan, dia tak boleh memperjuangkan andai diri dia sendiri tak diperjuangkan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.