Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau anda ternampak video seorang lelaki bertengkar dan bertindak kasar terhadap seorang wanita di sebuah pusat beli-belah yang tular baru-baru ini, sebenarnya ada cerita di sebalik kekecohan tersebut.
Insiden yang dikaitkan dengan pusat beli-belah Ombak KLCC itu dipercayai berlaku pada 1 November 2026, sekitar jam 3 petang.
Menurut laporan polis, seorang bapa berusia 36 tahun sedang berjalan bersama dua anaknya, masing-masing berusia tujuh dan dua tahun. Tiba-tiba, seorang wanita tidak dikenali didakwa menolak anak lelakinya dari belakang sehingga terjatuh. Wanita sama turut didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya yang berusia dua tahun.
Susulan kejadian itu, berlaku pertengkaran antara si bapa dengan wanita berkenaan. Rakaman video berdurasi kira-kira 35 saat yang memaparkan kekecohan tersebut kemudian tersebar di media sosial.
Bapa kedua-dua kanak-kanak itu telah membuat laporan polis pada jam 7.39 malam. Setakat ini, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Cuba bayangkan situasi ini. Kita sedang membawa anak berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah. Tiba-tiba, tanpa diduga, seorang individu yang langsung tidak dikenali bertindak mengasari anak kita.
Apa agaknya perasaan kita?
Mampukah kita bertenang? Mampukah kita sekadar berdiri dan meminta penjelasan dengan suara perlahan? Atau secara spontan, darah mula menyirap dan kaki terus melangkah untuk mendapatkan individu tersebut?
Insiden ini mencetuskan perbincangan hangat apabila ramai yang bersimpati dengan tindakan si ayah. Ada yang menganggap reaksinya sebagai naluri semula jadi seorang bapa yang mahu melindungi anak.
Bukan soal lelaki itu panas baran semata-mata tetapi bagaimana seorang ayah mahu berdiam diri apabila anaknya sendiri dikasari di depan mata?
Hakikatnya, naluri melindungi anak bukan hanya wujud dalam diri seorang bapa. Ibu juga pasti mempunyai perasaan yang sama.
Anak yang selama ini kita jaga, belai dan lindungi tiba-tiba diperlakukan dengan kasar oleh orang asing. Dalam keadaan terkejut begitu, memang bukan mudah untuk seseorang mengawal emosi sepenuhnya.
Ada kalanya, tindakan pertama yang terlintas dalam fikiran bukan lagi tentang siapa betul atau salah tetapi bagaimana mahu memastikan anak kita selamat.
Sebab itulah ramai yang boleh memahami mengapa si ayah bertindak sedemikian.
Namun, ada satu perkara yang kita perlu bezakan.
Memahami kemarahan seseorang tidak bermaksud kita perlu menghalalkan segala bentuk tindak balas.
Mempertahankan anak daripada ancaman adalah satu perkara, manakala meneruskan serangan sehingga mencederakan orang lain adalah perkara berbeza.
Kita boleh memahami seorang ayah yang hilang sabar apabila melihat anaknya dikasari tetapi pada masa sama, tindakan orang dewasa tetap perlu ada batasnya.
Lebih penting, jangan sesekali jadikan anak kecil sebagai tempat melepaskan geram. Apa pun punca seseorang tidak berpuas hati dengan tingkah laku kanak-kanak, menolak atau memukul anak orang lain bukanlah cara yang wajar.
Kalau ada masalah, tegur ibu bapa atau penjaga. Berikan ruang untuk mereka menyelesaikannya. Kanak-kanak kecil masih belajar memahami dunia dan tidak sepatutnya menjadi sasaran kemarahan orang dewasa.
Mungkin mudah untuk kita berkata, “Sepatutnya bertenang dan buat laporan polis sahaja.”
Tetapi cuba letakkan diri sendiri dalam situasi itu. Anak yang kita sayang dikasari oleh orang yang tidak dikenali, betul-betul di depan mata.
Adakah kita mampu mengawal emosi sepenuhnya?
Mungkin inilah masanya kita memahami satu perkara. Seorang ibu bapa boleh bertindak kerana terlalu sayangkan anak tetapi kasih sayang itu juga perlu disertai pertimbangan yang waras.
Jangan sentuh anak orang sesuka hati. Dan kepada ibu bapa, lindungilah anak sebaik mungkin tanpa membiarkan kemarahan mengambil alih segala pertimbangan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.