Dengar playlist penuh di sini
.

Bagi sesetengah pasangan, lovebite mungkin dianggap sebagai tanda kasih sayang atau kenangan selepas momen romantik bersama.
Ada yang berasa bangga apabila kesan itu muncul di kulit, seolah-olah mahu menunjukkan bahawa mereka sedang bahagia dengan pasangan masing-masing.
Tetapi lucunya, perasaan itu kadang-kadang berubah apabila kesan tersebut mula menarik perhatian orang lain.
Daripada rasa bangga, tiba-tiba timbul rasa panik.
“Macam mana nak hilangkan kesan ini?”
Lalu bermulalah pencarian pelbagai petua di internet. Antaranya menggunakan sudu sejuk, ais, urutan atau pelbagai cara yang dikatakan mampu menghilangkan lovebite dalam masa singkat.
Tetapi sebelum mencari jalan untuk menghapuskan kesan tersebut, mungkin ramai yang tidak tahu apa sebenarnya berlaku pada kulit.
Lovebite sebenarnya bukan luka biasa. Ia adalah lebam yang terjadi apabila tekanan atau sedutan kuat pada kulit menyebabkan salur darah kecil di bawah permukaan kulit pecah.
Sebab itu kesannya kelihatan seperti tompok merah, ungu atau kebiruan sama seperti lebam akibat terhantuk.
Jadi, adakah sudu sejuk benar-benar mampu menghilangkan lovebite?
Penggunaan sesuatu yang sejuk seperti ais atau sudu yang disejukkan mungkin membantu mengurangkan bengkak atau rasa tidak selesa pada peringkat awal. Namun, ia bukanlah “pemadam ajaib” yang boleh menghapuskan kesan tersebut serta-merta.
Kebiasaannya, lovebite akan hilang dengan sendiri selepas beberapa hari hingga beberapa minggu bergantung kepada keadaan kulit seseorang.
Namun, isu sebenar tentang lovebite bukan hanya berkaitan kesan pada kulit.
Ia juga berkait dengan bagaimana seseorang melihat nilai privasi dalam hubungan.
Ada perkara yang mungkin dianggap biasa oleh pasangan tetapi tidak semestinya sesuai untuk dilihat atau diketahui oleh orang lain. Tubuh dan keintiman adalah perkara peribadi yang mempunyai batasnya.
Dalam dunia hari ini, ramai terlalu terbuka berkongsi perkara yang sepatutnya kekal antara dua individu. Sedangkan menjaga maruah diri bukan bermaksud malu dengan cinta tetapi memahami bahawa tidak semua perkara perlu dipamerkan kepada umum.
Cinta yang matang bukan diukur melalui sejauh mana seseorang sanggup meninggalkan tanda untuk dilihat orang lain tetapi yang tersimpan dalam bentuk hormat, tanggungjawab dan cara seseorang menjaga batas hubungan mereka.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.