Dengar playlist penuh di sini
.

“Semalam cikgu panggil anak saya bodoh di depan seluruh kelas. Hari ini, cikgu akan minta maaf kepadanya. Di sini. Sekarang.”
Itulah kata-kata seorang bapa yang tular di media sosial selepas bertindak menemui guru anak perempuannya di dalam kelas. Difahamkan, guru berkenaan didakwa menggelar murid berusia 8 tahun itu “bodoh” di hadapan rakan sekelas sehingga dia menangis hampir sejam, sementara pelajar lain hanya melihat dan mentertawakannya.
Apabila guru tersebut menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu diajar menjadi kental untuk menghadapi dunia sebenar, si bapa membalas dengan tenang tetapi tegas.
“Dunia sebenar tidak mengajar anak menjadi kuat dengan cara memalukan mereka. Apa yang cikgu ajar sekarang adalah orang yang lebih kuat boleh menindas orang yang lebih lemah. Itu bukan pendidikan tetapi kekejaman.”
Akhirnya, guru itu memohon maaf kepada murid tersebut di hadapan kelas.
Persoalannya, wajarkah tindakan si bapa itu?
Sudah tentu setiap guru mempunyai cara tersendiri untuk mendidik anak murid. Menguruskan sebuah kelas yang mempunyai puluhan pelajar dengan pelbagai ragam bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam keadaan tertekan, tidak mustahil ada kata-kata yang terlepas tanpa disedari kesannya.
Namun, dalam apa jua keadaan, maruah seorang murid juga perlu dipelihara. Teguran yang tegas tidak semestinya perlu disampaikan dengan kata-kata yang menghina. Bagi seorang kanak-kanak, dimalukan di hadapan rakan sekelas bukan sahaja mengundang rasa malu malah boleh meninggalkan kesan terhadap keyakinan diri untuk tempoh yang lama.
Pada masa sama, kisah ini turut membuka satu lagi perbincangan penting tentang peranan ibu bapa apabila anak berdepan situasi yang dianggap tidak adil.
Ramai beranggapan anak perlu belajar menyelesaikan masalah sendiri agar mereka menjadi lebih berdikari. Namun, menurut satu perkongsian yang merujuk kepada kajian oleh Stanford University, kanak-kanak yang pernah melihat ibu bapa mempertahankan mereka secara wajar, walaupun hanya sekali, didapati lebih berani mempertahankan diri apabila dewasa. Mereka lebih yakin untuk bersuara, menetapkan batasan dan melaporkan perbuatan seperti buli atau gangguan.
Sebaliknya, kanak-kanak yang membesar dengan tanggapan bahawa mereka perlu menghadapi semuanya sendirian lebih mudah percaya bahawa bersuara tidak akan mengubah apa-apa. Akhirnya, mereka memilih untuk berdiam diri walaupun diperlakukan secara tidak adil.
Namun, mempertahankan anak bukan bermaksud membenarkan setiap kesalahan mereka. Ada bezanya antara mempertahankan maruah anak dengan membela kesalahan anak. Jika anak benar-benar bersalah, ibu bapa juga perlu berani menegur dan membimbing mereka untuk bertanggungjawab atas tindakan sendiri.
Begitu juga dengan guru. Meminta maaf apabila melakukan kesilapan tidak akan menjatuhkan maruah atau mengurangkan kewibawaan seorang pendidik. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa setiap manusia tanpa mengira usia atau pangkat, perlu bertanggungjawab terhadap kata-kata dan perbuatannya.
Hakikatnya, guru dan ibu bapa bukan berada di pihak yang bertentangan. Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu mahu melihat anak-anak membesar sebagai individu yang yakin, berani dan berakhlak mulia.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.