Dengar playlist penuh di sini
.

Balik dari kedai, buka plastik telur… mesti ada yang terus basuh sebelum simpan. Rasa macam lebih bersih, lebih yakin nak makan. Tapi pada masa yang sama, ada juga yang kata jangan basuh. Jadi, mana satu yang betul?
Jawapannya mungkin mengejutkan tapi ya, kebanyakan masa, telur tak perlu dibasuh sebelum disimpan.
Kenapa?
Kulit telur sebenarnya ada satu lapisan semula jadi yang dipanggil cuticle. Lapisan nipis ini bertindak sebagai pelindung yang menghalang bakteria daripada masuk ke dalam telur. Bila kita basuh telur, terutama dengan air, kita sebenarnya membuang lapisan pelindung ini.
Lebih membimbangkan, kalau basuh dengan air biasa (lagi-lagi air sejuk), ia boleh menyebabkan bakteria dari luar masuk ke dalam melalui pori-pori kulit telur. Niat nak bersihkan tapi tanpa sedar kita tambah risiko.
Jadi, macam mana cara yang betul?
1. Jangan basuh sebelum simpan
Kalau telur nampak bersih, terus simpan sahaja dalam peti sejuk. Itu cara paling selamat untuk kekalkan perlindungan semula jadi.
2. Simpan dalam peti sejuk, bukan suhu bilik
Di Malaysia yang panas dan lembap, telur lebih cepat rosak kalau dibiarkan di luar. Simpan dalam peti sejuk untuk kekalkan kesegaran lebih lama.

3. Simpan dalam bekas tertutup
Elakkan letak terus tanpa bekas sebab telur boleh serap bau makanan lain.

4. Jangan simpan di pintu peti sejuk
Ramai buat ni tapi sebenarnya suhu di pintu tak stabil sebab selalu dibuka. Lebih baik letak di bahagian dalam yang lebih sejuk dan konsisten.

5. Basuh hanya sebelum guna
Kalau telur kotor (contoh ada najis ayam atau kotoran), basuh hanya bila nak guna. Gunakan air mengalir dan terus masak. Jangan simpan semula selepas dibasuh.
Kesan kalau simpan dengan cara salah?
Telur boleh cepat rosak, berbau atau lebih bahaya berisiko tercemar dengan bakteria seperti Salmonella. Ini boleh menyebabkan keracunan makanan terutama jika telur dimakan separuh masak.
Jadi, yang penting bukan sekadar nampak bersih tapi cara kita jaga keselamatan makanan.
Tak semua benda perlu dibasuh untuk jadi bersih. Dalam kes telur, kadang-kadang tak basuh itu sebenarnya lebih selamat. Asalkan kita tahu bila masa yang betul untuk bersihkan.
Simple je kan tapi ramai masih tersilap.
Lepas ni, dah tahu jangan terus basuh, simpan dulu dengan cara yang betul.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.