Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Bayaran Tol: ‘Amaran’ Kalau Nak Kahwin Dengan Orang Johor

Selalunya yang jaga tol ni dah siap sedia nak buat muka serius tapi sebenarnya tengah tahan gelak...

“Tol dulu bang, ikut adat.”

Bukan tol PLUS tapi adat tol perkahwinan orang Johor. Tradisi lama yang suatu masa dulu hampir wajib ada dalam majlis kahwin terutama di kampung-kampung. Sekarang makin jarang nampak tapi bila muncul, terus jadi bahan gelak satu majlis.

Persoalannya apa maksud sebenar adat tol ni? Saja-saja nak menyakat pengantin lelaki ke atau ada makna tersembunyi?

Tol apa kebendanya?

Dalam adat perkahwinan Johor, “tol” merujuk kepada sekatan simbolik terhadap rombongan pengantin lelaki sebelum dibenarkan jumpa pengantin perempuan sebaik sampai di lokasi majlis.

Biasanya yang jaga tol ni bukan orang luar. Selalunya adik-beradik, sepupu atau saudara rapat pengantin perempuan yang muka memang dah siap sedia nak buat muka serius tapi sebenarnya tengah tahan gelak.

Bayaran pula kecil sahaja. Kadang-kadang RM1, RM5, duit syiling je pun ada. Yang penting ada, bukan jumlah.

Tol versi Johor

Berbanding sesetengah negeri lain yang ada pantun panjang berjela, versi Johor biasanya ringkas dan pantas.

Dialog pun simple:

“Ikut adat Johor, tol dulu.”

Hulur sikit duit, senyum, terus buka laluan. Tak ada tawar-menawar sampai pengantin berpeluh lebih daripada biasa.

Walaupun adat ini sangat sinonim dengan perkahwinan orang Johor, sebenarnya konsep sekatan sebelum masuk turut wujud di negeri-negeri lain. Bezanya cuma pada istilah dan gaya. Di Johor, ia dikenali sebagai ‘tol’. Di Selangor dan Perak pula ada versi yang dipanggil ‘palang pintu’. Negeri-negeri lain menggunakan pantun atau dialog simbolik sebagai ganti. Nama dan caranya berbeza tetapi akarnya tetap sama iaitu adat menyambut rombongan pengantin lelaki secara beradab dan santai.

Simbolik adat tol orang Johor

Walaupun nampak macam main-main, adat tol ni ada maksudnya.

Pertama, ia tanda kesungguhan pihak lelaki. Nak ambil anak orang, datang dengan adab dan usaha walaupun sekadar simbolik.

Kedua, ia lambang izin keluarga perempuan. Seolah-olah berkata, Kami terima kehadiran kamu, tapi ikut cara kami.”

Ketiga, ia cara orang Johor dulu-dulu meraikan perkahwinan dengan santai tanpa tekanan atau formaliti berlebihan.

Apa pengantin lelaki kena buat?

Diam, senyum handsome dan ikut je.

Biasanya wakil rombongan yang uruskan “tol”. Pengantin lelaki cuma tunggu lampu hijau sambil dalam hati berharap tol ni bukan versi waktu puncak.

Lepas tol dibayar, laluan dibuka dan majlis pun berjalan seperti biasa.

Kenapa adat ni dah macam kurang diamalkan?

Zaman berubah. Majlis kahwin hari ini lebih ringkas, jadual ketat dan fokus kepada persandingan. Ramai keluarga Johor sendiri memilih untuk tinggalkan adat tol supaya tak melambatkan majlis.

Ada juga yang risau adat ni disalah faham. Nampak macam minta duit, sedangkan asalnya cuma simbol budaya.

Adakah adat ini sebenarnya menjadi kewajipan?

Tak wajib langsung pun.

Orang Johor sendiri faham adat tol hanyalah pelengkap. Buat boleh, tak buat pun tak jadi masalah. Yang penting adab, niat dan kelancaran majlis.

Kalau dibuat pun, biarlah sederhana. Cukup untuk senyuman dan kenangan bukan sampai jadi beban.

Apa yang penting adat tol orang Johor bukan tentang duit tapi tentang cara orang lama menyambut menantu. Ringkas, lembut dan penuh makna.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.