Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tak buka kabinet dapur, jumpa sekotak biskut dan baru perasan tarikh “Best Before” dah lepas seminggu?
Terus pandang biskut. Pandang tarikh. Pandang biskut semula.
“Buang ke makan ni?”
Ramai sebenarnya masih keliru tentang maksud Best Before. Lebih-lebih lagi bila nampak tarikh sudah lepas, kita terus anggap makanan itu automatik sudah tidak selamat.
Sebenarnya, Best Before tidak semestinya sama dengan tarikh luput.
Best Before maksudnya apa?
Secara mudah, Best Before merujuk kepada tempoh sesuatu makanan dijangka mengekalkan kualiti terbaiknya seperti rasa, tekstur, aroma atau keadaan asal apabila disimpan mengikut arahan pada label.
Jadi, selepas tarikh itu berlalu, makanan tertentu mungkin masih boleh diterima untuk dimakan, bergantung kepada jenis makanan dan bagaimana ia disimpan.
Antara makanan yang lazimnya mempunyai tarikh Best Before termasuk roti, makanan sejuk beku dan sesetengah produk dalam tin.
Tapi ini bukan bermaksud boleh nampak tarikh dah lepas terus makan tanpa fikir panjang.
Keadaan makanan tetap perlu diperiksa dan arahan penyimpanan pada label perlu dipatuhi.
Habis, apa beza dengan tarikh luput?
Ini yang ramai terlepas pandang.
Label seperti “Expiry Date”, “Use By” atau “Consume By” membawa maksud yang lebih serius. Selepas tarikh tersebut, makanan tidak sepatutnya dijual atau dimakan kerana ia mungkin tidak lagi memenuhi aspek keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Sebab itu jangan samakan semua tarikh pada label sebagai benda yang sama.
Best Before → lebih kepada kualiti.
Expiry/Use By/Consume By → berkait dengan had keselamatan dan kualiti.
Jadi, kalau Best Before dah lepas, boleh makan?
Bergantung jugak. Jangan hanya tengok tarikh.
Periksa juga keadaan pembungkusan. Kalau tin sudah kembung, bocor, berkarat teruk atau kemek, jangan ambil risiko. Begitu juga makanan yang sudah berubah rupa, berbau pelik atau menunjukkan tanda kerosakan.
Cara penyimpanan pun sangat penting. Makanan yang sepatutnya disimpan dalam peti sejuk tetapi dibiarkan lama pada suhu bilik, misalnya, boleh menjadi masalah walaupun tarikh pada label belum lepas.
KKM turut menasihatkan pengguna membaca label untuk mengetahui cara penyimpanan makanan sebelum dan selepas dibuka.
Pendek kata, jangan jadikan “tarikh belum lepas” sebagai satu-satunya tanda makanan selamat.
Dan jangan pula anggap “Best Before dah lepas = mesti terus masuk tong sampah.”
Fahami dulu jenis tarikh pada label, lihat keadaan makanan dan pastikan ia disimpan dengan cara yang betul.
Dalam hal makanan, sayang nak membazir itu bagus… tapi jangan sampai perut pula yang jadi mangsa.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.