Dengar playlist penuh di sini
.
Kadang-kadang kita baca Al-Quran setiap hari.
Satu muka surat. Dua muka surat. Kadang-kadang beberapa halaman terus.
Alhamdulillah, itu pun satu amalan yang sangat baik.
Tapi pernah tak kita berhenti sekejap dan terfikir…
“Aku ni baca apa sebenarnya?”
Bukan bermaksud kita tak boleh membaca Al-Quran tanpa memahami setiap perkataan. Cuma ada satu lagi perkara yang boleh kita cuba iaitu tadabbur.
Tadabbur secara mudahnya ialah kita cuba memahami, menghayati dan memikirkan mesej yang disampaikan melalui ayat-ayat Al-Quran.
Bila baca tentang sabar, kita fikir… Aku ni sabar ke bila diuji?
Bila terbaca tentang memaafkan, kita teringat pula orang yang sampai sekarang kita masih susah nak lepaskan daripada hati.
Bila terbaca tentang rezeki, kita mula sedar yang mungkin selama ini kita terlalu sibuk mengira apa yang belum ada, sampai terlupa menghargai apa yang sudah Allah beri.
Haa… dekat situ Al-Quran mula terasa berbeza.
Ia bukan sekadar ayat yang kita baca dan habiskan tetapi mesej yang perlahan-lahan kita bawa masuk ke dalam kehidupan.
Sebab itu tadabbur bukan pertandingan siapa boleh habiskan paling banyak halaman.
Kadang-kadang satu ayat pun cukup untuk buat kita duduk diam sekejap dan muhasabah diri.
Tak perlu tunggu jadi ustaz, ustazah atau orang yang paling alim untuk mula bertadabbur.
Kita boleh mula perlahan-lahan. Baca ayat, baca terjemahan, fahamkan maksudnya dan cuba tanya diri sendiri:
“Apa yang ayat ini cuba ajar aku?”
Mungkin jawapannya bukan datang terus.
Mungkin hari ini kita cuma faham sedikit.
Tapi bila kita baca lagi esok, dengan hati dan pengalaman hidup yang berbeza, ayat yang sama mungkin terasa jauh lebih dekat.
Indahnya Al-Quran, kan?
Bukan hanya kerana ia dibaca dengan lidah tetapi apabila mesejnya mula menyentuh hati dan akhirnya mempengaruhi cara kita menjalani hidup.
Jadi selepas ini, bila buka Al-Quran…
Mungkin sesekali kita tak perlu terlalu fikir “Berapa banyak yang aku dah baca?”
Cuba tanya juga,
“Berapa banyak yang aku faham, hayati dan cuba amalkan?”

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.