Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Bila Guru Persoal Aduan Anak Dikasari, Pembuli Naik Lemaklah

Kita fikir buli akan berhenti kalau mangsa berani mengadu. Tetapi bagaimana kalau mangsa sudah mengadu, kemudian dia pula dibuat rasa bersalah kerana mengadu?

Bila anak dikasari di sekolah, ibu bapa buat aduan bukan sebab nak cari gaduh.

Kita cuma mahu tahu apa yang berlaku dan mahu anak rasa dilindungi. Lebih penting, kita mahu dia tahu bahawa kalau ada orang menyakiti dia, dia boleh bersuara dan ada orang dewasa yang akan membantu.

Tetapi apa jadi apabila aduan itu sampai kepada guru, kemudian guru pula memanggil anak yang menjadi mangsa?

Sepatutnya inilah peluang untuk mendapatkan cerita sebenar. Tanya apa yang berlaku, dengar daripada sudut pandang anak dan fahami keadaan.

Tetapi kalau sesi itu lebih kepada mempersoalkan kenapa aduan dibuat, kemudian anak dilabel manja, lembik atau terlalu sensitif, kesannya boleh jadi jauh lebih besar daripada yang kita sangka.

Sebab anak itu bukan ibu bapa.

Dia yang berdepan sendiri dengan guru selepas aduan dibuat.

Dan bila dia rasa seolah-olah dirinya pula dipersalahkan, dia boleh mula rasa bersalah kerana bercakap.

Akhirnya, mangsa terus diam.

Dia mungkin tidak lagi berani menceritakan keseluruhan kejadian. Siapa yang buat, berapa kali berlaku, apa yang dikatakan atau apa lagi yang berlaku sebelum itu…semuanya mungkin disimpan.

Dan bila mangsa berhenti memberikan maklumat, siapa yang paling untung?

Pembuli.

Sebab mereka tahu mangsa mungkin sudah tidak berani bersuara.

Inilah yang kadang-kadang kita terlepas pandang apabila bercakap tentang budaya buli. Kita fikir buli akan berhenti kalau mangsa berani mengadu.

Tetapi bagaimana kalau mangsa sudah mengadu, kemudian dia pula dibuat rasa bersalah kerana mengadu?

Pembuli pula boleh naik tocang.

Mereka mula rasa selamat kerana mangsa mungkin tidak akan membuka mulut lagi.

Ini bukan bermaksud setiap aduan anak mesti diterima bulat-bulat tanpa siasatan. Sudah tentu pihak sekolah perlu mendengar kedua-dua pihak dan memastikan fakta sebenar.

Tetapi menyiasat tidak sama dengan memperlekehkan.

Kalau benar perkara itu kecil, terangkan dengan baik. Kalau ada salah faham, jelaskan. Kalau memang berlaku kesalahan, ambil tindakan yang sewajarnya.

Jangan sampai anak yang sudah mengumpul keberanian untuk berkata, “Saya kena buat macam ni,” akhirnya belajar bahawa lebih baik dia simpan semuanya seorang diri.

Sebab bila mangsa sudah takut untuk bercakap, pembuli pula mendapat ruang untuk terus berbuat sesuka hati.

Dan di sinilah sikap yang mungkin nampak kecil boleh menjadi enabler kepada buli.

Bukan kerana guru mahu melindungi pembuli.

Tetapi apabila aduan dipandang enteng dan mangsa pula dibuat rasa bersalah, pembuli akhirnya rasa mereka selamat.

Jangan tunggu sampai anak berhenti mengadu baru kita sedar ada sesuatu yang tidak kena.

Kadang-kadang dia bukan sudah tidak dibuli.

Dia cuma sudah tidak percaya bahawa suaranya akan didengari.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.