Dengar playlist penuh di sini
.

Hari Raya Aidilfitri sepatutnya menjadi waktu paling menggembirakan untuk sebuah keluarga. Rumah meriah, meja penuh juadah, sanak saudara datang berkunjung. Tetapi bagi sesetengah anak yang ibu bapanya telah bercerai, raya kadang-kadang datang dengan rasa yang bercampur-baur.
Di luar, mereka tetap tersenyum menyambut tetamu, bersalaman dan bergambar. Tapi dalam hati, ada satu persoalan yang sering bermain setiap kali raya menjelang, “Raya tahun ini aku ikut siapa?”
Situasi ini mungkin nampak kecil bagi orang luar tetapi bagi anak-anak yang berada di tengah-tengah perceraian ibu bapa, ia boleh menjadi dilema yang sangat besar.
Raya Yang Perlu Dibahagi Dua
Ada anak yang perlu menyambut pagi raya di rumah ibu, kemudian petang atau hari kedua pula ke rumah ayah. Ada juga yang perlu bergilir setiap tahun.
Tahun ini raya dengan ibu. Tahun depan pula dengan ayah.
Walaupun nampak seperti penyelesaian yang adil, hakikatnya ia tidak semudah itu untuk seorang anak. Mereka bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan dua rumah yang berbeza tetapi juga dua suasana keluarga yang mungkin sangat berlainan.
Kadang-kadang anak terasa seperti “tetamu” di salah satu rumah, terutama jika ibu atau ayah sudah berkahwin semula.
Rasa Serba Salah Yang Tak Terucap
Antara cabaran paling besar bagi anak pasangan bercerai ialah rasa serba salah.
Kalau mereka kelihatan terlalu gembira di rumah ibu, takut ayah terasa hati. Kalau terlalu lama di rumah ayah, takut ibu pula berkecil hati.
Perasaan ini jarang diluahkan terutama oleh anak-anak yang sudah besar. Mereka lebih memilih untuk memendam sahaja demi menjaga hati kedua-dua orang tua.
Hakikatnya, mereka cuma mahu satu perkara yang sangat sederhana iaitu raya yang tenang tanpa perlu memilih.
Kenangan Raya Yang Berubah
Bagi anak yang pernah merasai zaman ibu bapa mereka masih bersama, raya selepas perceraian terasa sangat berbeza.
Dulu semua berkumpul di satu rumah. Pagi raya penuh dengan gelak tawa. Bergambar satu keluarga besar tanpa rasa janggal.
Sekarang, gambar raya mungkin perlu diambil dua kali..satu dengan ibu, satu lagi dengan ayah.
Kenangan lama itu kadang-kadang membuatkan mereka lebih sensitif bila raya tiba.
Apa Yang Anak Sebenarnya Perlukan

Anak-anak yang berada dalam situasi ini sebenarnya tidak meminta banyak. Mereka hanya perlukan sedikit kefahaman daripada kedua-dua pihak.
Jangan jadikan mereka orang tengah untuk menyampaikan mesej atau menyelesaikan konflik lama. Jangan juga membuatkan mereka rasa bersalah kerana meluangkan masa dengan ibu atau ayah.
Yang paling penting, jangan paksa mereka memilih.
Raya sepatutnya menjadi masa untuk menyambung silaturahim, bukan menambah tekanan emosi kepada anak-anak.
Raya Tetap Raya
Walaupun keluarga sudah tidak sama seperti dulu, raya tetap boleh menjadi indah jika orang dewasa memilih untuk bersikap matang.
Bagi anak-anak, kehadiran ibu dan ayah dalam hidup mereka tetap penting walaupun tidak lagi tinggal sebumbung.
Kadang-kadang, hadiah raya paling besar bukanlah duit raya atau baju baharu.
Tetapi suasana yang aman, tanpa pertengkaran… dan tanpa rasa perlu memilih antara dua orang yang mereka sayang.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.