Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak luka yang dah beberapa hari kering tiba-tiba mula rasa gatal yang bukan main lagi?
Sampai tangan rasa nak menggaru. Lagi kita cuba tahan, lagi terasa macam luka itu sedang memanggil-manggil.
Orang dulu-dulu selalu kata, “Tu tanda luka nak baik.”
Tapi betul ke?
Ada benarnya.
Apabila kulit mengalami luka, badan akan mula menjalankan proses membaiki kawasan yang rosak. Sel-sel baharu terbentuk, salur darah kecil dan tisu mula dibaiki, manakala kulit perlahan-lahan membentuk lapisan baharu.
Dalam proses ini, saraf di kawasan luka juga boleh menjadi lebih sensitif. Bahan kimia tertentu yang dikeluarkan oleh badan ketika proses penyembuhan, termasuk histamin, boleh mencetuskan rasa gatal.
Sebab itu, apabila luka mula mengering dan membentuk keruping, rasa gatal boleh muncul.
Tetapi di sinilah kita selalu tersilap.
Gatal tidak semestinya bermaksud luka sedang sembuh.
Kalau luka menjadi semakin merah, panas, bengkak, sakit atau mengeluarkan nanah, itu bukan masa untuk kita fikir, “Oh, dah nak baik ni.”
Ia boleh menjadi tanda jangkitan dan sebaiknya mendapatkan pemeriksaan, terutama jika keadaan semakin teruk.
Satu lagi perangkap ialah menggaru luka yang sedang sembuh.
Memang susah nak tahan. Lagi-lagi bila gatal datang waktu tengah malam. Tangan pula macam ada “autopilot” sendiri.
Tetapi menggaru boleh membuka semula kulit yang sedang membaiki diri. Keruping yang tercabut terlalu awal juga boleh menyebabkan luka berdarah semula dan proses penyembuhan terganggu.
Jadi kalau luka gatal, cuba elakkan daripada menggarunya.
Pastikan kawasan tersebut bersih dan jangan sengaja mengopek keruping kerana rasa geram tengok kulit mengelupas.
Dan kalau gatal itu berterusan selepas luka nampak sudah sembuh, jangan terus anggap ia perkara biasa. Parut yang sedang terbentuk juga boleh menyebabkan rasa gatal atau tidak selesa bagi sesetengah orang.
Jadi, betullah tu…luka yang gatal memang boleh menjadi sebahagian daripada proses penyembuhan.
Tetapi kita kena tengok keseluruhan keadaan luka, bukan rasa gatal itu sahaja.
Sebab badan memang ada cara tersendiri untuk memberitahu kita sesuatu.
Kadang-kadang, rasa gatal itu tanda kulit sedang membaiki diri.
Kadang-kadang pula, ia tanda kita perlu beri perhatian.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.