Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Bila Wajahnya Muncul Di TV, Satu Malaysia Senyap Dan Fokus

Suara yang menentukan bila kita mula berpuasa, bila kita boleh takbir raya dan bila ketupat akhirnya boleh dimakan tanpa rasa bersalah.

Setiap kali hampir masuk hujung Ramadan, satu wajah akan muncul di kaca TV dan serta-merta seluruh Malaysia jadi senyap sekejap. Bukan sebab drama atau perlawanan bola tapi sebab pengumuman rasmi tarikh puasa atau raya. Dan watak utama momen ini ialah Penyimpan Mohor Besar Raja.

Walaupun pengumuman ini berlaku setiap tahun, rasa berdebar tu tetap sama. Ada yang siap pasang TV awal, ada yang refresh live stream, ada yang pegang telefon sambil bisik, “Harap-harap esok raya…”

Dan mestilah, ramai tak boleh move on daripada episod raya mengejut beberapa tahun lepas. Yang baju belum gosok, ketupat belum rebus, kuih masih dalam oven. Tiba-tiba boom, esok raya. Trauma kolektif satu Malaysia. Sejak tu, setiap kali Penyimpan Mohor Besar Raja muncul, semua terus fokus. Tak berani ambil ringan dah.

Siapa sebenarnya Penyimpan Mohor Besar Raja?

Ramai kenal wajah tapi tak ramai betul-betul tahu siapa dan apa peranannya. Penyimpan Mohor Besar Raja ialah pegawai kanan istana yang memegang tanggungjawab besar dalam sistem Raja Berperlembagaan Malaysia. Jawatan ini bukan jawatan simbolik semata-mata. Ia melibatkan urusan rasmi negara yang sangat penting.

Dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan berkhidmat sebagai penjaga Mohor Besar Raja, iaitu cap mohor rasmi yang digunakan untuk dokumen-dokumen penting negara.

Apa sebenarnya tugas Penyimpan Mohor Besar Raja?

Selain mengumumkan tarikh puasa dan Hari Raya, Penyimpan Mohor Besar Raja juga bertanggungjawab dalam:

  • Menguruskan urusan rasmi Majlis Raja-Raja
  • Menyimpan dan mengurus penggunaan Mohor Besar Raja
  • Terlibat dalam istiadat penting negara
  • Mengumumkan perkara-perkara rasmi berkaitan Raja-Raja Melayu

Pendek kata, bila dia bercakap di kaca TV, itu bukan pendapat peribadi. Itu pengumuman rasmi negara. Sebab tu nada suaranya tenang, ayat kemas dan tak pernah ada unsur dramatik walaupun seluruh rakyat tengah tahan nafas.

Kenapa kita semua tunggu dia?

Sebab dia jadi simbol kepastian. Dalam dunia penuh spekulasi, group WhatsApp dan teori konspirasi “sudah nampak anak bulan”, suara Penyimpan Mohor Besar Raja adalah penamat segala teka-teki. Bila dia umumkan, maka itulah keputusannya. Tamat cerita.

Dan ya, tak dapat dinafikan… ramai juga perasan satu benda kecil tapi konsisten setiap tahun penampilannya memang kemas dan berkarisma. Tenang, berwibawa dan suara steady. Ada aura “kalau dia cakap, kita dengar”.

Lebih daripada sekadar pengumuman raya

Sebenarnya, peranan Penyimpan Mohor Besar Raja lebih besar daripada momen setahun sekali itu. Tapi dalam konteks rakyat biasa, beliaulah suara yang menentukan bila kita mula berpuasa, bila kita boleh takbir raya dan bila ketupat akhirnya boleh dimakan tanpa rasa bersalah.Sebab itu, setiap tahun, tanpa gagal kita tunggu.
Dan setiap tahun juga, bila dia muncul di skrin…satu Malaysia automatik diam, dengar dan akur.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dari tahun 1948 sehingga kini :
#Penyimpan Mohor Besar Raja-rajaTarikh mulaTarikh tamatTempoh berkhidmat
1Raja Ayob Raja BotFebruari 1948Mei 194890 hari
2Abdullah NordinJun 1948Disember 19491 tahun, 214 hari
3Raja Shahar Shah Raja HaronApril 1949Disember 1949275 hari
4Tengku Husin Tengku YahayaJanuari 1950Mei 1950120 hari
5Tunku Ya’acob Sultan Abdul Hamid Halim ShahMei 1950Januari 19521 tahun, 276 hari
6Mustafa Al-Bakri HasanFebruari 1952Januari 19542 tahun, 1 hari
7Tunku Ya’acob ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim ShahFebruari 1954Disember 19551 tahun, 334 hari
8Mustafa Al-Bakri HasanJanuari 1956Ogos 19571 tahun, 243 hari
9Abdul Rahim Abdul RaufSeptember 1957Mei 19635 tahun, 274 hari
PemangkuTunku Shahriman Tunku SulaimanJun 1963Ogos 196392 hari
PemangkuAziz ZakariaSeptember 1963Oktober 196330 hari
10Ahmad HusinOktober 1963September 198017 tahun, 5 hari
11Ahmad Zainal Abidin Muhammad YusofOktober 1980September 19888 tahun, 2 hari
PemangkuAbdul Rahim Kassim, Penolong Setiausaha Majlis Raja-RajaOktober 1988Disember 198892 hari
12Engku Ibrahim Engku NgahJanuari 1989Januari 201122 tahun, 5 hari
13Syed Danial Syed Ahmad [2]10 Januari 2011kini15 tahun dan 43 hari
Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial bin Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja terkini sejak 2011.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.