Dengar playlist penuh di sini
.

Kerja bersama setiap hari. Duduk satu pejabat. Makan tengah hari bersama. Saling membantu.
Semua nampak biasa.
Sampailah seseorang yang bukan pasangan mula menjadi orang pertama yang dicari, tempat pertama untuk meluah dan orang yang paling ditunggu-tunggu setiap hari.
Di situlah masalahnya.
1. Mula Jadi Tempat Bergantung
“Boleh ajar I buat benda ni?”
“I tak faham. You boleh tolong?”
Pada awalnya memang urusan kerja.
Tetapi bila setiap masalah hanya seorang yang dicari, kemudian cerita kerja bertukar menjadi cerita keluarga, masalah pasangan dan hal peribadi, hubungan itu sudah mula bergerak keluar daripada sempadan profesional.
Yang bahaya bukan pertolongan. Yang bahaya bila kita mula rasa hanya dia yang memahami kita.
2. Outstation Berdua
Bukan bermaksud lelaki dan perempuan tak boleh bekerja berdua.
Tetapi bila dua orang yang sudah berpasangan menghabiskan masa berdua di luar rutin biasa, ruang untuk berbual dan berkongsi perkara peribadi juga bertambah.
Kalau boleh, jaga batas dari awal.
Jangan tunggu hati berubah baru nak cari sempadan.
3. Carpool: “Jimat minyak, Jimat Tol”
Alasan ini memang masuk akal.
Tapi apabila tumpang kereta menjadi rutin setiap hari, lama-lama kita bukan sekadar tahu jalan pulang.
Kita tahu lagu kegemaran dia, makanan kegemaran dia, cerita keluarga dia…
Dan mungkin jadual hidup dia lebih daripada yang kita patut tahu.
Minyak memang jimat. Tapi jangan sampai batas pun ikut dijimatkan.
4. Breakfast Atau Lunch Bersama
Sekali-sekala mungkin tiada apa.
Tetapi kalau setiap pagi orang yang sama dicari, setiap kali makan mesti berdua dan hari terasa pelik kalau dia tak ada…
Itu sudah menjadi rutin emosi, bukan sekadar rutin makan.
5. Chat Selepas Waktu Kerja
Ini antara pintu yang paling mudah terbuka.
Mula dengan:
“Esok meeting pukul berapa?”
Kemudian:
“Dah makan?”
“Dah sampai rumah?”
“Kenapa macam stress hari ni?”
Bila urusan kerja sudah habis tetapi perbualan masih diteruskan, apa sebenarnya yang sedang dicari?
6. Team Building & Company Dinner
Aktiviti pejabat memang normal.
Yang perlu diperhatikan ialah apabila seseorang sengaja mencari peluang untuk duduk sebelah orang tertentu, bergambar berdua atau terus berhubung selepas program tamat.
Program syarikat boleh habis jam 10 malam. Jangan biarkan perasaan sambung shift malam.
7. “Jom Main Badminton”
Main sukan dengan rakan sekerja tak salah.
Tapi kalau partner mesti orang yang sama setiap kali, sedangkan satu pejabat penuh manusia…
Bulu tangkis jangan sampai jadi bulu-bulu perasaan.
8. “You Pakai Perfume Apa?”
Satu pujian mungkin sekadar pujian.
Tetapi bila kita mula menunggu perhatian orang tertentu, perasan perubahan kecil pada penampilan dia dan rasa seronok apabila mendapat pujian daripadanya, itu sudah patut membuat kita berhenti sekejap.
Sebab curang bukan semestinya bermula dengan sentuhan.
Kadang-kadang ia bermula apabila seseorang yang bukan pasangan mendapat perhatian, keselesaan dan tempat dalam hati yang sepatutnya kita jaga.
Jadi sebelum berkata, “Kami tak buat apa-apa pun,” cuba tanya soalan yang lebih jujur:
Kalau pasangan kita ada di sebelah sepanjang semua perkara itu berlaku, adakah kita masih akan buat perkara yang sama?
Kalau jawapannya tidak…
Mungkin kita sendiri sudah tahu bahawa “tak ada apa-apa” itu sebenarnya sudah ada sesuatu.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.