Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Dah Tua Tapi Ini Masanya Bercinta Semula Dengan Pasangan

Ada pasangan yang memilih tidur berasingan kerana dengkur, masalah tidur, waktu tidur tak sama atau faktor kesihatan.

Bila umur semakin meningkat, hubungan suami isteri kadang-kadang berubah tanpa kita sedar. Dulu tidur mesti sebelah-sebelah, sekarang seorang tidur di bilik, seorang lagi di ruang lain. Dulu kalau keluar mesti jalan berdua, sekarang masing-masing sibuk dengan telefon. Dulu tangan selalu mencari tangan pasangan, sekarang nak bersentuh pun rasa macam pelik.

Inilah yang orang sekarang panggil “sleep divorce” atau tidur berasingan. Ada pasangan yang memilih tidur berasingan kerana dengkur, masalah tidur, waktu tidur tak sama atau faktor kesihatan. Itu sendiri bukan semestinya bermaksud rumah tangga bermasalah.

Tetapi kalau tidur berasingan itu hanya sebahagian daripada hubungan yang semakin jauh, itu yang patut diperhatikan. Jangan sampai rumah masih ada dua orang suami isteri, tetapi hubungan sudah macam dua orang penyewa.

Sebab itu apabila usia sudah 50-an, 60-an atau lebih, apa kata kita cuba romantikkan semula hubungan. Tak perlu pun buat perkara yang besar. Jalan petang bersama sambil pegang tangan. Duduk minum kopi berdua. Keluar makan tanpa anak-anak. Tengok cerita sambil bersandar pada bahu pasangan. Atau sekadar tanya, “Hari ni penat tak?”

Benda-benda kecil macam ini mungkin nampak remeh kepada orang lain, tetapi selepas puluhan tahun hidup bersama, sentuhan dan perhatian kecil boleh mengingatkan kita bahawa orang di sebelah itu bukan sekadar ibu atau ayah kepada anak-anak. Dia masih pasangan kita.

Masalahnya, ramai pasangan sudah terlalu lama bersama sampai rasa romantik itu dianggap sesuatu yang memalukan. Suami tiba-tiba pegang tangan isteri, isteri pula ketawa, “Abang ni dah tua-tua buat perangai pulak.”

Janganlah spoilkan mood.

Kalau suami tiba-tiba nak romantik, sambutlah. Kalau isteri tiba-tiba nak duduk rapat, jangan pula menyindir. Kita selalu mengeluh pasangan sudah tidak romantik macam dulu, tetapi bila dia cuba mulakan semula, kita sendiri yang buat dia rasa malu.

Pada usia ini, kita sebenarnya sudah tidak ada banyak masa untuk bermain ego. Anak-anak mungkin sudah mempunyai keluarga sendiri. Kawan-kawan semakin berkurangan. Kesihatan pula tidak selamanya mengizinkan. Yang tinggal akhirnya adalah pasangan yang sudah bertahun-tahun berkongsi susah senang dengan kita.

Jadi jangan tunggu salah seorang sudah tiada baru teringat betapa seronoknya berjalan berdua sambil pegang tangan.

Romantik selepas 50 bukan kebudak-budakan. Bukan juga tanda buat “tebiat”. Itu cuma dua orang yang sudah lama bersama, tetapi masih memilih untuk menyayangi satu sama lain.

Kalau masih ada pasangan di sebelah, jangan cuma hidup bersama.

Cuba jatuh cinta semula dengan orang yang sama.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.