Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tengok satu video, wajah memang nampak macam orang yang kita kenal. Suara pun sama. Cara bercakap pun hampir serupa. Kita tengok sekali lalu, terus rasa, “Eh, memang dia!”
Masalahnya, dalam dunia AI sekarang, apa yang nampak dan kedengaran seperti benar belum tentu benar.
Inilah yang dipanggil deepfake. Teknologi yang menggunakan kecerdasan buatan untuk menghasilkan atau mengubah wajah, suara atau video seseorang sehingga kelihatan sangat meyakinkan.
Kalau dulu deepfake mudah nampak pelik, sekarang hasilnya semakin kemas. Sebab itu kita bukan sekadar kena berhati-hati, tetapi kena belajar cara mengesannya.
Perhatikan sama ada pergerakan mulut benar-benar sepadan dengan suara.
Kadang-kadang suara kedengaran lancar tetapi gerakan bibir sedikit lambat, terlalu kaku atau tidak kena dengan sebutan tertentu.
Jangan tengok muka sahaja. Tengok bagaimana muka itu bergerak ketika bercakap.
Deepfake yang kurang sempurna kadang-kadang menghasilkan ekspresi yang nampak sedikit “off”.
Contohnya, mata kelihatan terlalu kosong, ekspresi muka tidak berubah mengikut emosi atau pergerakan muka nampak terlalu licin dan tidak natural.
Tapi jangan pula anggap seseorang itu deepfake hanya kerana cara dia berkelip atau ekspresinya pelik. Teknologi sekarang semakin canggih, jadi satu tanda sahaja tidak cukup untuk membuktikannya.
Cuba perhatikan telinga, rambut, gigi, kulit, cermin mata, aksesori dan bayang-bayang pada muka.
Ada deepfake yang kelihatan sempurna dari jauh tetapi bila diperhatikan betul-betul, terdapat bahagian yang berubah-ubah atau tidak selari dengan pencahayaan.
Sebab itu kalau video nampak terlalu pelik, pause dan tengok semula.
Suara yang ditiru AI boleh kedengaran hampir sama seperti individu sebenar.
Namun kadang-kadang ada perubahan kecil seperti intonasi yang terlalu rata, jeda yang pelik, sebutan tertentu yang kedengaran tidak natural atau emosi suara yang tidak sepadan dengan situasi.
Jadi, “suara memang macam dia” bukan bukti yang cukup.
Ini antara langkah paling penting.
Kalau tiba-tiba muncul video seseorang membuat kenyataan besar, jangan terus percaya hanya kerana video itu nampak real.
Cari sumber asal. Tengok akaun rasmi individu tersebut. Semak sama ada media yang dipercayai turut melaporkan perkara sama.
Kalau hanya satu akaun yang tidak dikenali menyebarkan video tersebut, berhenti sekejap sebelum tekan share.
Ini yang paling bahaya.
Suara boleh ditiru. Jadi kalau menerima panggilan kecemasan yang meminta duit dengan alasan kemalangan, ditahan, hilang telefon atau sebagainya, jangan terus buat pindahan wang.
Letak telefon dan hubungi semula nombor yang memang kita simpan.
Boleh juga tanya soalan yang hanya orang sebenar itu tahu atau gunakan kata rahsia keluarga yang telah dipersetujui lebih awal.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.