Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Dilarang Tidur Asing Selagi Masih Suami Isteri, Sebab…

Pelukan senyap, sentuhan kaki atau sekadar dengar nafas pasangan di sebelah, semua itu bantu badan dan emosi untuk 'turunkan suhu'.

Dalam setiap rumah tangga pergaduhan itu perkara biasa. Tak ada pasangan yang 24 jam manis macam iklan gula-gula getah. Ada hari gelak sama-sama, ada hari muka masing-masing pun rasa nak elak. Tapi ada satu tabiat yang nampak remeh padahal kesannya besar yang amat. Ya, tidur asing lepas bergaduh.

Alasan paling popular

Biasanya alasan mudah, “Nak tenangkan diri.”
Hakikatnya bila satu pihak angkat bantal pindah bilik, emosi jarang jadi lebih tenang. Yang jadi cuma sunyi, gelap dan fikiran mula overthinking.

Bukan redakan marah tapi panjangkan bara

Bila tidur berasingan otak kita mula main ulang tayang. Ayat yang pasangan cakap tadi jadi makin pedas, nada suara makin terasa kasar dan kesalahan kecil tiba-tiba nampak macam dosa besar. Dalam diam, marah yang sepatutnya reda bertukar jadi bara emosi. Bila bangun keesokan paginya, isu kecil semalam boleh jadi isu nasional.

Kehadiran fizikal = ubat penenang

Selain itu tidur asing juga perlahan-lahan menghakis keintiman emosi. Walaupun tengah marah, kehadiran fizikal pasangan sebenarnya memberi kesan menenangkan. Pelukan senyap, sentuhan kaki atau sekadar dengar nafas pasangan di sebelah, semua itu bantu badan dan emosi untuk ‘turunkan suhu’. Bila tidur berasingan, peluang untuk marah cair dengan sendiri pun hilang.

Bila biasa tidur asing, jarak emosi terbina

Ada juga pasangan yang tak sedar bila tidur asing jadi kebiasaan, jarak emosi mula terbina. Mula dengan satu malam, kemudian dua. Lama-kelamaan masing-masing selesa dengan zon sendiri. Komunikasi makin kurang dan perasaan ‘kita satu pasukan’ makin pudar. Masalah kecil yang dulu boleh selesai dengan senyuman, kini perlukan diam berhari-hari.

Walaupun masing-masing diam, badan masih dekat

Ironinya tidur bersama walaupun sedang tegang sebenarnya memaksa pasangan kekal berhubung. Walaupun tak bercakap, badan masih dekat. Walaupun muka masam, jarak tak terlalu jauh. Dalam keadaan itu, hati lebih mudah lembut. Ego pun tak sempat membesar.

Jadi bila hati panas, apa yang patut dibuat?

Tak perlu paksa diri berpelukan macam drama. Cukup dengan tindakan yang berikut:

  • Diam sekejap, tarik nafas, jangan sambung perang kata-kata.
  • Beri ruang fizikal sikit dalam bilik yang sama. Mengiring ke tepi pun dikira.
  • Ucap ayat selamat seperti, “Kita rehat dulu, esok kita bincang elok-elok.”
  • Kalau mampu, genggam tangan. Kalau tak mampu, sekurang-kurangnya jangan berpaling terus.

Langkah kecil ini nampak biasa tapi besar maknanya. Ia menghantar mesej yang jelas iaitu “kita bergaduh, tapi kita masih satu pasukan”.

Perangkap emosi tanpa sedar

Sebenarnya tidur asing selepas gaduh adalah perangkap emosi yang ramai terjebak tanpa sedar. Ia memanjangkan marah, menjauhkan hati dan melemahkan ikatan rumah tangga. Tidur bersama pula bukan soal siapa menang atau kalah tapi tanda komitmen. Walaupun sedang marah kita masih memilih untuk bersama.

Yang penting, terus kekal di sisi

Jadi lain kali bila gaduh, jangan capai bantal dan keluar bilik. Duduk diam, tarik nafas, pejam mata. Walau hati panas, badan biar dekat. Kadang-kadang cinta tak perlukan kata-kata, cukup dengan kekal berada di sisi.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.