Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Doktor Estetik Fake Makin Berani, Kenapa Ramai Percaya?

Premis cantik, testimoni berderet, harga pula menarik. Tapi siapa sebenarnya yang melakukan prosedur itu?

Sekarang ini, bila seseorang bercakap penuh yakin tentang kulit, jerawat, botox, filler atau rawatan estetik, siap menggunakan istilah perubatan, kita mudah sahaja percaya.

“Doktor kot.”

Masalahnya, betul ke dia doktor?

Yang lebih membimbangkan, ada individu yang dikatakan berani memperkenalkan diri sebagai doktor estetik, malah menjalankan prosedur tertentu di premis yang kelihatan seperti klinik atau pusat kecantikan.

Ada yang menawarkan pelbagai rawatan dengan harga menarik sehingga pelanggan sendiri mungkin tidak terfikir untuk bertanya soalan paling asas:

“Siapa sebenarnya yang akan buat prosedur ini?”

Sebab bila nampak premis cantik, pekerja memakai uniform, peralatan canggih dan penerangan yang cukup meyakinkan, kita mudah menganggap semuanya profesional.

Tambahan pula, media sosial hari ini memang pandai menjual keyakinan.

Gambar sebelum dan selepas.

Testimoni pelanggan.

Video proses rawatan.

Promosi terhad.

“Ramai dah buat.”

“Tak sakit.”

Recovery cepat.”

Akhirnya, rasa takut hilang dan tangan pun mula buka dompet.

Sedangkan prosedur estetik tertentu bukan sekadar soal kecantikan. Ia melibatkan tubuh manusia dan boleh membawa risiko komplikasi jika dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai kelayakan atau autoriti yang sepatutnya.

Lebih pelik, ada pelanggan yang hanya sedar tentang perkara ini selepas berlaku masalah.

Bila muka bengkak.

Bila berlaku jangkitan.

Bila hasil tidak seperti yang dijanjikan.

Bila badan memberikan reaksi yang tidak dijangka.

Masa itu barulah pelanggan mula bertanya,

“Kalau jadi apa-apa, siapa yang bertanggungjawab?”

Dan di sinilah muncul satu lagi perkara yang membuatkan kita menggaru kepala.

Pelanggan mungkin sudah diminta menandatangani consent form sebelum rawatan.

Tetapi kita kena faham satu perkara.

Menandatangani consent form tidak bermaksud semua risiko atau kesalahan automatik menjadi tanggungjawab pelanggan.

Persetujuan pesakit bukan tiket untuk sesiapa sahaja melakukan prosedur yang sepatutnya dikendalikan oleh profesional yang berkelayakan.

Sebab itu jangan hanya bertanya,

“Berapa harga?”

Tanya juga,

“Siapa yang akan melakukan prosedur ini?”

Apa kelayakan mereka?

Adakah mereka benar-benar berdaftar dan mempunyai autoriti untuk menjalankan prosedur tersebut?

Premis itu pula bagaimana statusnya?

Jangan malu bertanya.

Jangan takut dianggap cerewet.

Kita sedang bercakap tentang tubuh sendiri.

Yang paling menakutkan ialah apabila seseorang sanggup membayar mahal kerana percaya dia sedang mendapatkan rawatan daripada seorang profesional, sedangkan individu di hadapannya mungkin bukan doktor pun.

Lebih menyedihkan, keuntungan mungkin masuk berkali-kali ganda.

Tetapi apabila komplikasi berlaku, pelanggan pula yang menanggung sakit, kos rawatan susulan dan tekanan emosi.

Cantik itu pilihan. Tetapi keselamatan bukan sesuatu yang patut kita pertaruhkan.

Sebelum serahkan wajah dan tubuh kepada sesiapa, jangan terpesona hanya kerana premisnya cantik, pengikutnya ramai atau testimoni pelanggan memenuhi media sosial.

Semak siapa yang merawat kita.

Dalam soal kesihatan dan tubuh badan, lebih baik kita dianggap “banyak tanya” daripada akhirnya terpaksa bertanya,

“Kenapa dulu aku tak semak?”

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.