Dengar playlist penuh di sini
.
Bila seseorang dihentam selepas satu video tular, perkara paling mudah untuk dilakukan ialah mempertahankan diri habis-habisan.
Jawab semua. Nafikan semua. Terangkan semua. Kalau boleh, setiap komen pun nak dibalas.
Tetapi apa yang ditunjukkan Dato’ Seri Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media baru-baru ini buat ramai orang melihat satu perkara yang berbeza.
Bukan kerana semua persoalan tentang insiden di KLIA itu sudah terjawab. Sebaliknya, cara beliau berdepan dengan soalan dan tekanan itulah yang menarik perhatian.
Pertama, beliau tidak lari daripada isu.
Beliau tampil sendiri dan memberikan konteks mengenai kejadian daripada sudut pandangnya, termasuk menjelaskan latar operasi penguatkuasaan yang dijalankan ketika itu.
Tidak berselindung di sebalik kenyataan bertulis. Tidak membiarkan orang lain bercakap bagi pihaknya.
Kedua, beliau tahu bila perlu berhenti bercakap.
Apabila ditanya mengenai dakwaan berlaku kontak fizikal, beliau tidak cuba mencipta naratif untuk memenangkan dirinya.
Beliau memilih untuk menyerahkan perkara itu kepada siasatan kerana jika beliau memberikan satu versi dan pihak satu lagi memberikan versi berbeza, akhirnya ia hanya menjadi “my word against his word.”
Dalam zaman semua orang mahu menjadi hakim di ruangan komen, tahu bila untuk tidak berkata lebih daripada apa yang kita tahu sebenarnya bukan mudah.
Ketiga, beliau meletakkan dirinya di bawah keputusan pihak berkuasa dan kerajaan.
Beliau memaklumkan bahawa perkara itu telah dibawa kepada pihak tertinggi kerajaan dan kementerian, malah berkata apa sahaja keputusan yang dibuat, beliau bersedia menerimanya.
Itu bukan ayat yang ringan untuk keluar daripada mulut seseorang yang sedang berdepan perhatian awam.
Kemudian datang satu lagi ayat yang mungkin paling melekat daripada sidang media itu:
“Kalau harga perubahan itu adalah diri saya, saya akan bayar dengan diri saya.”
Pedas tetapi tenang.
Bukan bunyi seseorang yang sedang cuba memenangi satu sidang media. Sebaliknya, ia kedengaran seperti seseorang yang sedar jawatan dan dirinya sendiri juga boleh menjadi sebahagian daripada harga yang perlu dibayar untuk sesuatu perubahan.
Keempat, beliau juga tidak menafikan bahawa cara beliau memberi arahan memang keras.
Dalam penjelasannya, beliau mengaitkan gaya tersebut dengan latar belakangnya sebagai pegawai polis yang terbiasa memberikan arahan secara tegas.
Sekurang-kurangnya, beliau tidak cuba menggambarkan dirinya sebagai seseorang yang tidak pernah tersilap atau tidak pernah mempunyai kelemahan.
Kelima, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan perkara yang belum disahkan sementara siasatan berjalan.
Dan mungkin di sinilah kita patut berhenti sekejap.
Kita hidup dalam zaman di mana satu video beberapa saat boleh membuatkan orang terus membentuk cerita lengkap dalam kepala.
Sedangkan yang kita nampak mungkin hanya satu bahagian daripada keseluruhan kejadian.
Kes ini masih perlu disiasat dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan fakta sebenar.
Tetapi daripada sidang media itu, ada satu pengajaran yang rasanya boleh kita bawa pulang.
Bila dihentam, keberanian bukan semestinya bermaksud bercakap paling banyak.
Kadang-kadang keberanian ialah berani tampil.
Berani menjelaskan apa yang kita tahu.
Berani mengakui apa yang kita boleh akui.
Berani tidak menjawab perkara yang belum pasti.
Dan mungkin sebab itulah, di sebalik segala persoalan yang masih belum terjawab, cara beliau mengendalikan sidang media itu sendiri meninggalkan sesuatu untuk kita fikirkan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.