Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak dengar petua mak-mak kata nak elak perineum atau kawasan sensitif (miss V) koyak teruk masa bersalin, kena selalu rajin mengurut? Ha, memang betul pun! Dalam dunia perubatan, ini dipanggil urutan perineum (perineal massage).
Menariknya, tugasan ni bukan sahaja ibu yang kena buat sendiri tapi suami yang tolong! Bila masuk minggu ke-34 atau ke-35 kehamilan, urutan ni sangat digalakkan untuk bantu regangkan tisu di kawasan perineum supaya lebih anjal dan bersedia bila kepala bayi mula keluar nanti.
Secara teknikalnya, urutan perineum bantu melancarkan aliran darah dan tingkatkan keanjalan otot. Bila tisu dah terbiasa diregangkan sebelum labor, risiko untuk berlaku koyakan semula jadi yang teruk atau keperluan untuk doktor lakukan prosedur potongan (episiotomy) dapat dikurangkan. Bonusnya, ibu pun dah dapat bayangan rasa regangan tu, jadi kurang sikit rasa panik bila tiba masa nak meneran nanti!
Kenapa bantuan suami ni penting sangat? Pertama sekali, bab praktikal! Bila perut ibu dah makin membesar kat hujung kehamilan, memang susah sangat nak capai sendiri kawasan bawah tu. Bila suami tolong, proses mengurut jadi jauh lebih mudah dan selesa untuk ibu.
Kedua, ini masa paling padu untuk bina bonding dan rasa empati. Suami kadang-kadang bingung tak tahu nak tolong apa masa isteri mengandung. Bila terlibat secara fizikal macam ni, suami akan lebih faham perjuangan isteri dan rasa terlibat terus dalam persediaan menyambut kelahiran anak.
Cara nak buat pun senang sangat. Suami cuma perlu pastikan tangan bersih dan kuku pendek, gunakan minyak semula jadi yang selamat seperti minyak zaitun atau minyak kelapa, lepas tu perlahan-lahan masukkan ibu jari sedikit ke dalam vagina dan tekan lembut ke arah bawah serta tepi membentuk corak huruf ‘U’. Buat dalam 3 hingga 5 minit sehari sambil isteri tarik nafas rileks.
Jadi untuk para suami di luar sana, jangan kekok atau rasa segan tau! Ini salah satu bentuk sokongan padu yang korang boleh beri untuk bantu mudahkan proses bersalin isteri tercinta.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.