Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Ganjaran Lailatul Qadar Buat Wanita Haid Dan Cara Meraihnya

Basahkan lidah dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, serta perbanyakkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Bagi kaum wanita, kehadiran “bendera merah” atau haid pada sepuluh malam terakhir Ramadan sering kali mengundang rasa sedih dan kecewa. Ada yang rasa “rugi” kerana tidak dapat bersujud dalam tahajud atau beriktikaf di masjid untuk memburu malam Lailatul Qadar.

Jangan risau, Islam itu indah dan luas. Pintu rahmat Allah tidak pernah tertutup hanya kerana keadaan biologi seorang wanita.

Kita perlu sedar bahawa haid adalah ketetapan Allah yang juga merupakan satu bentuk ketaatan apabila kita mematuhi larangan-Nya untuk tidak solat. Pahala tidak hanya terletak pada sejadah, tetapi pada niat dan zikir yang tidak pernah putus dari lisan.

Langkah pertama untuk memburu Lailatul Qadar dalam keadaan uzur adalah dengan memperbanyakkan zikir dan istighfar. Walaupun dilarang solat dan berpuasa, lidah kita tetap bebas untuk memuji Allah. Basahkan lidah dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, serta perbanyakkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW khusus untuk malam tersebut: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni” (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah aku). Zikir ini boleh dilakukan di mana sahaja, sambil lipat baju, sambil baring rehat-rehat, sambil sediakan juadah sahur untuk keluarga, atau sebelum tidur.

Selain itu, berkhidmat untuk orang yang beribadah juga merupakan satu “lubang pahala” yang sangat besar. Apabila anda menyediakan sahur dan iftar untuk ahli keluarga yang berpuasa, atau memastikan keselesaan suami dan anak-anak untuk beribadah di malam hari, anda sebenarnya sedang meraih pahala yang sama seperti mereka tanpa mengurangkan sedikit pun ganjaran mereka. Niatkan setiap titisan air yang anda tuangkan dan setiap hidangan yang anda masak sebagai khidmat kerana Allah, maka setiap peluh itu dikira sebagai ibadah yang berat di timbangan mizan.

Seterusnya, manfaatkan waktu malam dengan mendengar tadabbur Al-Quran atau membaca buku-buku agama. Walaupun ada perbezaan pendapat tentang memegang mushaf, anda masih boleh membaca Al-Quran melalui aplikasi telefon atau mendengar bacaan daripada qari kegemaran. Mendengar dan menghayati kalam Allah dengan penuh khusyuk juga mampu membawa ketenangan jiwa yang luar biasa, setanding dengan mereka yang berdiri lama di dalam solat Tarawih.

Akhir sekali, bersedekahlah walaupun dengan nilai yang kecil. Dalam sepuluh malam terakhir, gandakan pemberian anda melalui platform dalam talian atau tabung-tabung masjid. Sedekah yang dilakukan pada malam Lailatul Qadar nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Jangan biarkan perasaan rendah diri menghalang anda daripada terus berbuat baik. Ingatlah, Allah melihat usaha dan kejujuran hati kita. Walaupun tanpa sujud dan rukuk, wanita yang haid tetap berpeluang menjadi “tetamu” istimewa Allah pada malam yang penuh kemuliaan itu.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.