Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak jadi macam ni: jam loceng dah berbunyi, mata memang celik tapi badan masih dekat alam mimpi. Bangun rasa lemau, kepala berat sikit, tenaga macam belum check-in. Kita selalu anggap, “alah biasalah, belum minum kopi.”
Padahal badan sebenarnya sedang kehausan.
Bukan haus drama tapi haus air.
Ketika tidur, badan terus berfungsi. Kita bernafas, berpeluh sedikit dan menjalankan proses metabolisme tanpa sedar. Semua ini menggunakan air. Sebab itu, sebaik bangun pagi, tubuh memerlukan penghidratan segera. Minum air kosong memang membantu tetapi menambah secalit garam (terutamanya garam Celtic atau Himalayan) boleh memberi kesan yang lebih cepat dan berkesan kepada sesetengah orang.

Garam mengandungi natrium, sejenis elektrolit penting yang membantu mengawal keseimbangan cecair dalam badan. Apabila air diminum bersama sedikit garam, natrium membantu air tersebut diserap masuk ke dalam sel dengan lebih efisien. Inilah sebabnya ada yang merasakan badan ‘hidup’ lebih cepat. Tenaga kembali, kepala terasa ringan dan rasa segar muncul dengan pantas.
Bagi mereka yang sebelum ini sering bangun pagi dengan rasa pening ringan atau lesu tanpa sebab jelas, kemungkinan besar tubuh kekurangan cecair dan elektrolit. Minuman air bercampur secalit garam bertindak seperti penghidratan semula (rehydration) versi ringkas. Ini sama konsepnya dengan minuman isotonik tetapi tanpa gula dan bahan tambahan.
Selain membantu penghidratan, air minuman yang dicampur sedikit garam pada waktu pagi juga dikatakan menyokong fungsi saraf dan otot. Natrium memainkan peranan penting dalam penghantaran isyarat saraf. Apabila paras elektrolit seimbang, badan berfungsi dengan lebih lancar. Itulah yang membuatkan kita rasa lebih cergas walaupun baru bangun tidur.
Namun, penting untuk ditekankan bahawa jumlah garam mestilah sangat sedikit, sekadar secalit kecil dalam segelas air. Terlalu banyak garam boleh memberi kesan sebaliknya, terutama kepada individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang atau perlu mengawal pengambilan natrium.
Air yang digunakan juga sebaiknya air suam atau suhu bilik, bukan air terlalu sejuk. Air suam lebih mudah diterima oleh sistem pencernaan dan membantu ‘membangunkan’ badan secara perlahan tanpa mengejutkan sistem dalaman.
Kesimpulannya, rasa segar selepas minum air dengan secalit garam bukan sekadar perasaan kosong. Ia ada asas logiknya. Badan yang dehidrasi selepas tidur memerlukan air, dan garam membantu proses itu berlaku dengan lebih efektif. Namun seperti semua amalan kesihatan, kesederhanaan adalah kunci. Perhatikan reaksi tubuh anda, jika sesuai ia boleh menjadi rutin pagi yang ringkas tetapi memberi kesan besar.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.