Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Gigi Bongsu: Kenapa Mesti Muncul Kalau Akhirnya Menyusahkan?

Gigi bongsu biasanya mula terbentuk dalam rahang seawal usia tujuh tahun walaupun ia muncul jauh lebih lewat iaitu sekitar umur 17 hingga 25 tahun.

Kalau ada satu benda dalam badan manusia yang ramai orang berharap tak wujud… mungkin gigi bongsu salah satunya.

Datang lambat.
Sakit bukan main.
Kadang-kadang kena cabut pula.

Jadi persoalannya kalau memang selalu bermasalah, kenapa gigi bongsu ni tetap muncul?

Sebenarnya, Dulu Gigi Bongsu Ada Fungsinya

Gigi bongsu biasanya mula terbentuk dalam rahang seawal usia sekitar tujuh tahun walaupun kita hanya nampak ia muncul jauh lebih lewat iaitu sekitar umur 17 hingga 25 tahun.

Sebab itu ia digelar “gigi bongsu”, kononnya muncul bila kita dah makin matang.

Tapi hakikatnya gigi ini bukan dicipta untuk menyusahkan kita.

Zaman dahulu, diet manusia jauh lebih kasar dan keras. Makanan seperti daging mentah, akar tumbuhan dan makanan yang liat menyebabkan gigi cepat haus.

Dalam keadaan itu, gigi bongsu sangat berguna sebagai “backup” untuk menggantikan gigi geraham yang sudah rosak atau haus.

Pendek kata, dulu… gigi bongsu adalah aset penting untuk terus hidup.

Masalahnya, Kita Dah Berubah… Tapi Gigi Tak Ikut

Hari ini, dunia kita berbeza.

Makanan lebih lembut.
Teknologi memasak lebih moden.
Gigi pula tak cepat haus seperti dulu.

Malah, kajian juga menunjukkan rahang manusia moden kini lebih kecil berbanding manusia prasejarah.

Tapi gigi bongsu?
Masih ikut pelan lama.

Itulah punca utama kenapa ia jadi masalah.

Bila ruang dalam rahang tak cukup, gigi bongsu akan:

  • Tumbuh senget
  • Tersekat dalam gusi (impacted)
  • Tekan gigi lain
  • Sebabkan sakit, bengkak dan jangkitan

Dan akhirnya… ramai yang terpaksa cabut.

Kenapa Tak Hilang Terus?

Ini soalan menarik.

Kalau dah tak diperlukan, kenapa badan kita tak hapuskan saja gigi bongsu ni…kan?

Sebabnya…. evolusi ambil masa yang sangat lama.

Walaupun fungsi gigi bongsu makin berkurang, perubahan dalam DNA manusia tak berlaku dalam masa singkat.

Sebab itu masih ramai yang akan mengalaminya.

Tak Semua Orang Bernasib Malang

Menariknya, bukan semua orang ada masalah dengan gigi bongsu.

Ada yang:

  • Tumbuh elok
  • Tak sakit langsung
  • Boleh digunakan seperti gigi biasa

Dan ada juga yang… langsung tak tumbuh.

Ini mungkin petanda bahawa evolusi sedang perlahan-lahan “menghapuskan” keperluan gigi bongsu dalam generasi akan datang.

Hidden Agenda Si Gigi Bongsu

Gigi bongsu ni ibarat tinggalan zaman lama dalam tubuh kita.

Dulu diperlukan. Hari ini… sering menyusahkan.

Tapi ia juga mengingatkan kita badan manusia masih membawa sejarah, walaupun dunia dah berubah.

Dan kadang-kadang dalam hidup…bukan semua yang muncul itu kita perlukan.

Tapi tetap datang juga untuk ajar kita sesuatu.

Walaupun… terpaksa tahan sakit sekejap.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.