Dengar playlist penuh di sini
.
“Doktor, umur saya dah lebih 40 tahun. Kalau saya mengandung , apa risikonya?” soalan ni sering diajukan wanita kepada doktor, dan di sebalik soalan tu, biasanya ada campuran perasaan teruja dan risau yang sukar diluahkan. Sama ada kehamilan ini dirancang lama, atau datang sebagai kejutan selepas anak-anak lain sudah besar atau baru pertama kali sebab kahwin lambat, mengandung di usia 40-an membawa realiti yang berbeza daripada mengandung di usia 20-an tapi ia bukan sesuatu yang perlu ditakuti sepenuhnya.
Trend ini sebenarnya semakin biasa di Malaysia. Data terkini menunjukkan peratusan wanita Malaysia yang melahirkan anak selepas umur 35 tahun meningkat daripada 20.8 peratus pada 2017 kepada 23 peratus pada 2022, menjadikan Malaysia negara kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan bayi yang dilahirkan oleh ibu berusia lebih lanjut. Ramai wanita menangguhkan kehamilan atas sebab yang dipertimbangkan dengan teliti, kestabilan kewangan, matlamat kerjaya, atau menunggu pasangan yang tepat dan bukan sekadar kebetulan.
Seorang ibu yang berkongsi pengalamannya hamil hampir usia 40 tahun menyatakan bahawa pengalaman itu membuatkannya lebih peka dengan risiko yang mungkin timbul antaranya kebimbangan terhadap komplikasi seperti diabetes gestasi, tekanan darah tinggi, dan kemungkinan kecacatan genetik seperti sindrom Down. Ini bukan kebimbangan yang tak berasas. Secara perubatan, kuantiti dan kualiti telur wanita menurun dengan ketara menjelang usia 40 tahun, meningkatkan risiko keabnormalan kromosom pada janin. Kajian turut menunjukkan risiko keguguran meningkat daripada sekitar 9 peratus dalam kalangan wanita berusia 20-24 tahun kepada lebih 50 peratus dalam kalangan wanita berusia atas 40 tahun. Selain itu, wanita usia ini lebih berisiko mendapat komplikasi obstetrik seperti preeklampsia, diabetes semasa hamil, dan lebih cenderung memerlukan pembedahan caesarean.
Tapi cerita ni bukan semuanya tentang risiko. Seorang pakar perunding perbidanan menegaskan bahawa umur membawa kebijaksanaan dan keyakinan, walaupun turut membawa beberapa cabaran perubatan dan dengan pemantauan yang betul serta penjagaan yang konsisten, ramai ibu berusia 40-an tetap menikmati kehamilan yang lancar dan sihat. Kemajuan dalam ujian saringan pranatal juga bermakna risiko-risiko ini kini boleh dikesan lebih awal berbanding sebelum ini. Ujian Pranatal Bukan Invasif (NIPT), contohnya, boleh dijalankan seawal 10 minggu kehamilan untuk mengesan sebarang keabnormalan kromosom melalui ujian darah memberi masa yang lebih untuk ibu bapa membuat persediaan, sama ada dari segi perubatan mahupun sokongan emosi.
Risiko ini bukan tanggungjawab wanita seorang diri. Kajian turut menunjukkan usia suami turut memainkan peranan, lelaki berusia 40 tahun ke atas juga dikaitkan dengan peningkatan risiko tertentu kepada bayi. Ini bermakna perancangan kehamilan di usia lewat sepatutnya dibincangkan sebagai tanggungjawab bersama pasangan, bukan beban sebelah pihak sahaja.
Kalau anda atau seseorang yang anda kenali sedang merancang atau sudah pun mengandung di usia 40-an, langkah paling penting ialah pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum dan semasa kehamilan termasuk saringan awal trimester pertama, pemantauan tekanan darah dan gula darah yang lebih kerap, serta perbincangan terbuka dengan pakar obstetrik tentang sejarah kesihatan peribadi dan keluarga. Di Malaysia sendiri, tiada sekatan undang-undang terhadap usia untuk hamil, keputusan sepenuhnya di tangan setiap wanita dan pasangannya, berdasarkan maklumat yang lengkap.
Kehamilan di usia 40-an memang membawa risiko yang lebih tinggi berbanding usia lebih muda itu fakta yang tak boleh dinafikan. Tapi dengan penjagaan proaktif dan pemantauan berterusan, ramai wanita membuktikan bahawa usia bukan lagi penghalang mutlak untuk merasai kebahagiaan menjadi ibu.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.