Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Hantu Susu: Kisah Seram Paling Lawak Tapi ‘Real’ Zaman 90-an

Ingat lagi tak Hantu Susu? Kisah seram paling ikonik zaman 90-an yang buat budak-budak takut nak ke dapur malam-malam.

Kalau sebut pasal zaman 90-an, memori kita pasti akan melayang kepada zaman kaset, permainan guli, dan kartun kegemaran setiap petang. Namun di sebalik kemeriahan zaman sebelum adanya media sosial ini, ada satu budaya yang sangat melekat dalam kepala budak-budak waktu itu iaitu kisah hantu yang tersebar dari mulut ke mulut sehingga kecoh satu Malaysia. Antara banyak-banyak kisah seram, ada satu watak yang cukup ikonik dan tragis.

Bagi generasi sekarang, nama Hantu Susu mungkin kedengaran kelakar. Tapi bagi kita yang membesar pada awal tahun 90-an, sebut sahaja nama itu, automatik bulu roma akan meremang. Ia bukan sekadar cerita kosong tetapi sebuah fenomena yang membuatkan ramai penduduk kampung dan taman perumahan berkunci pintu rapat sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang.

Misteri Ketukan Pintu Tengah Malam

Hantu Susu dikenali dengan modus operandi yang sangat spesifik. Entiti ini digambarkan sebagai seorang wanita berjubah putih kotor, kadangkala berpurdah dan sentiasa mendukung sesuatu yang kelihatan seperti bayi. Dia akan muncul pada waktu malam biasanya selepas Maghrib atau tengah malam dan mula mengetuk pintu rumah satu persatu.

Apa yang membuatkan orang zaman 90-an kecut perut bukanlah ketukannya tetapi permintaannya. Dengan suara yang sangat sayu dan mendayu-dayu, dia akan meminta susu untuk anaknya. Mengikut cerita orang lama, jika ada penghuni yang kasihan dan memberikan susu, susu tersebut akan tumpah melalui badannya atau lebih mengerikan, bayi yang didukungnya itu rupa-rupanya hanyalah sebatul batu nisan yang dibalut kain.

Asal-Usul Tragis: Kisah Ustazah dari Taiping

Di sebalik gangguan ini, wujud satu mitos asal-usul yang sangat menyedihkan. Salah satu versi paling popular mengaitkan entiti ini dengan seorang ustazah dari Taiping, Perak. Dikatakan, dia telah dibunuh dengan kejam oleh suaminya yang ketagih judi ketika dia sedang sarat mengandung.

Rohnya dikatakan tidak tenang dan kembali sebagai Hantu Susu untuk menuntut bela atau sekadar meminta bantuan demi anak yang tidak sempat dilahirkannya. Walaupun kisahnya sering dikaitkan atau tertukar dengan legenda Hantu Kum Kum, fokus Hantu Susu tetap pada elemen permintaan susu dan kaitan tragis antara ibu dan bayi tersebut.

Ketakutan Yang Menghiburkan

Kenapa kita begitu percaya waktu itu? Kerana sebelum era internet, maklumat tersebar pantas melalui sembang-sembang di kedai kopi atau sakat-menyakat abang dan kakak di rumah. Suasana malam zaman 90-an yang sunyi, tanpa bunyi notifikasi telefon bimbit, memang membuatkan setiap bunyi ketukan pada dinding papan rumah terasa seperti kunjungan dari wanita berjubah putih itu.

Gara-gara Hantu Susu, ramai budak 90-an jadi pakar lari pecut dari dapur ke bilik tidur selepas minum air. Kita akan pastikan lampu dapur ditutup dan kita akan terbang naik ke katil sebab takut kaki kena tarik dari bawah katil oleh hantu yang mahukan susu tadi. Lawak memang lawak bila diingat semula tapi waktu itu, peluh jantan memang keluar!

Simbol Kesucian Zaman Kanak-Kanak

Hari ini, Hantu Susu mungkin sudah lama bersara dan tempatnya digantikan dengan entiti digital atau gangguan di media sosial. Namun, bagi anak jati 90-an, kisah ini adalah sebahagian daripada warna-warni zaman kanak-kanak kita. Ia adalah simbol zaman di mana imaginasi kita sangat luas dan kita berkongsi ketakutan yang sama dengan kawan-kawan sekampung.

Jadi, kalau malam ini anda terdengar bunyi ketukan perlahan di pintu rumah… jangan terus buka. Periksa dulu, manalah tahu ada tetamu yang tertinggal tin susu di tangan! Heheheheheh…

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.