Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Ibu Ayah Wajib Tahu Impak Besar Bawa Anak Pergi Bercuti

Bercuti dengan anak bukan pembaziran tapi adalah pelaburan memori. Jangan tunggu anak besar baru nak berjalan, masa takkan berpatah balik.

Bila sebut pasal bawa anak-anak pergi bercuti, sekurang-kurangnya dua kali setahun, mesti ramai ibu bapa yang mengeluh. “Travel dengan anak-anak ni renyah, poket pula cepat kering!” Memang tidak dinafikan, ada segelintir ibu bapa yang menganggap melancong bersama anak-anak ini sebagai satu perbelanjaan yang membazir dan tidak perlu. Namun, hakikatnya sangat berbeza.

Percutian keluarga sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu ayah.

Apabila anda beli tiket penerbangan, anda sebenarnya sedang membeli memori. Anda bukan sekadar membayar tempahan hotel tetapi mencipta pengalaman yang akan anak-anak ingat sampai bila-bila.

Dunia Luar Adalah Guru Terbaik

Apabila kita membawa anak keluar daripada rutin harian mereka, kita sedang mengajar mereka sesuatu yang tidak mampu dijelaskan oleh mana-mana buku sekolah. Mereka akan sedar bahawa dunia ini sangat luas, penuh dengan kepelbagaian budaya dan sarat dengan tempat-tempat yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu serta impian mereka.

Anak-anak yang kerap travel bersama ibu bapa belajar banyak perkara melalui pemerhatian. Mereka membesar dengan sifat ingin tahu, gemar bertanya dan memahami nilai perkongsian serta kerjasama. Pengalaman ini membantu mereka menjadi individu yang lebih yakin diri, lebih menghargai kehidupan dan dunia di sekeliling mereka. Yang paling penting, mereka membesar dengan kesedaran bahawa keluarga ialah teamwork yang saling menyokong, bukannya sekadar individu yang berkongsi ruang di bawah bumbung yang sama.

Masa Takkan Pernah Menunggu Kita

Ramai yang selalu memberi alasan, “Nantilah, bila dah ada duit lebih baru aku bawa mereka berjalan.”

Tolong jangan tunggu. Anak-anak membesar dengan sangat cepat. Momen yang kita gagal cipta hari ini, tidak akan pernah kembali lagi pada hari esok. Lagipun, percutian ini tidak semestinya perlu mewah atau pergi ke luar negara. Pusing-pusing ke bandar sebelah atau keluar camping hujung minggu pun sudah memadai.

Ini bukan soal kemewahan tetapi ini soal masa dan adanya kita sebagai ibu bapa dalam hidup mereka. Satu hari nanti apabila mereka sudah dewasa, perkara yang paling mereka ingat bukanlah barang mainan mahal yang kita belikan tetapi momen-momen indah yang pernah mereka lalui bersama kita.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.