Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Ibu Bapa Berperang Di Media Sosial, Anak Yang Tanggung Malu

Kita mungkin lega selepas meluahkan semuanya kepada dunia. Tetapi anak kita mungkin perlu hidup bertahun-tahun dengan akibatnya.

Dulu-dulu kalau mak ayah bergaduh sampai terpekik-pekik dalam rumah, paling jauh pun jiran sebelah je yang tahu. Kalau rumah teres, mungkin jiran tiga rumah sebelah pun boleh dengar. Anak-anak pula malu kalau terserempak dengan jiran keesokan harinya. “Semalam dengar mak ayah kau gaduh.”

Itu pun sudah cukup memalukan.

Sekarang zaman sudah berubah. Mak ayah bergaduh bukan lagi setakat satu taman perumahan yang tahu. Kalau masing-masing sudah mula membuka cerita di media sosial, satu Malaysia boleh tahu. Video menangis, menjerit, membuat tuduhan, membalas kenyataan bekas pasangan dan menceritakan masalah rumah tangga kepada orang ramai semuanya boleh tersebar dalam beberapa minit.

Yang paling malang bukan semestinya ibu atau ayah.

Anak.

Bayangkan seorang anak pergi ke sekolah pada keesokan hari. Kawan-kawan sudah nampak video ibunya menangis dan meraung tentang ayahnya. Cikgu mungkin sudah tahu. Group WhatsApp ibu bapa mungkin sudah penuh dengan cerita. Kemudian ada pula kawan yang bertanya, “Betul ke ayah kau buat macam tu?”

Nak jawab apa?

Dia mungkin tidak tahu pun apa yang sebenarnya berlaku antara ibu dan ayah. Tetapi tiba-tiba dia terpaksa menanggung akibat daripada pergaduhan orang dewasa yang menjadi tontonan umum.

Lebih menyedihkan apabila ibu bapa sudah bercerai, tetapi perang masih berterusan di media sosial. Hubungan suami isteri sudah berakhir, tetapi kemarahan belum selesai. Seorang membuat posting, seorang lagi membalas. Seorang menangis, seorang lagi membuka cerita. Lama-lama orang ramai pula menjadi penonton dan hakim kepada masalah keluarga mereka.

Mungkin si ibu memang sangat terluka. Mungkin si ayah juga mempunyai versi cerita sendiri. Kita tidak tahu keseluruhan kisah dan tidak wajar terus percaya kepada satu pihak hanya kerana videonya lebih menyentuh emosi.

Tetapi,anak tidak sepatutnya dijadikan mangsa perang selepas perceraian.

Kalau benar ada penipuan, keganasan, pengabaian, nafkah tidak dibayar atau perkara serius lain, ada saluran undang-undang dan pihak berkuasa yang boleh membantu. Media sosial bukan mahkamah keluarga.

Dan kalau cuma kerana terlalu marah, cuba fikir sekali lagi sebelum tekan butang “post”.

Kita mungkin lega selepas meluahkan semuanya kepada dunia. Tetapi anak kita mungkin perlu hidup bertahun-tahun dengan akibatnya.

Kita boleh bercerai dengan pasangan.

Tetapi anak masih perlu pergi sekolah, berjumpa cikgu, bergaul dengan kawan dan menjalani hidupnya.

Jangan kerana kita mahu menang dalam perang dengan bekas pasangan, anak pula yang kalah sepanjang hidup.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.