Dengar playlist penuh di sini
.
Bayangkan sedang memancing dengan tenang, tiba-tiba ikan yang naik ke permukaan dikatakan menyerupai piranha. Bukan di Sungai Amazon, Amerika Selatan, tetapi di perairan sendiri di Raub, Pahang!
Sejak penemuan ikan yang disyaki piranha di Empangan Klau menjadi perhatian, ramai mula tertanya-tanya. Betulkah ikan pemangsa yang terkenal dengan gigi tajam ini sudah berada di perairan Malaysia?
Terbaharu, Jabatan Perikanan Malaysia menjalankan Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau selama dua hari, bermula 24 Oktober 2026.
Bagaimanapun, tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang program tersebut yang melibatkan 150 peserta.
Menurut Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, keadaan itu tidak bermakna spesies berkenaan sudah tiada di kawasan tersebut. Pemantauan dan penilaian saintifik masih perlu diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburannya.
Menariknya, sebanyak 156.586 kilogram ikan asing berjaya direkodkan sepanjang program itu, termasuk Peacock Bass, Tilapia Zebra dan Lampam Jawa.
Jadi, walaupun operasi sudah dijalankan, persoalan tentang ikan yang mencetuskan tanda tanya orang ramai masih belum selesai.
Ikan piranha ke pacu? Ini yang belum terjawab.
Sebelum ini, penilaian terhadap gambar dan rakaman video ikan berkenaan menunjukkan ciri fizikal yang konsisten dengan genus piranha.
Namun, pengesahan muktamad masih berdepan kesukaran kerana spesimen fizikal ikan tersebut tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut. Antara perkara yang perlu dipastikan ialah sama ada ikan itu benar-benar piranha atau pacu, iaitu ikan lain yang boleh kelihatan seakan-akan serupa.
Sebab itulah kita tidak boleh terus membuat kesimpulan hanya berdasarkan rupa ikan dalam video.
Bagi merungkai misteri ini, Jabatan Perikanan turut menjalankan analisis DNA persekitaran atau environmental DNA (eDNA).
Menerusi kaedah ini, sampel air dianalisis untuk mengesan bahan genetik yang mungkin ditinggalkan oleh organisma akuatik. Hasilnya boleh membantu penyelidik menilai kemungkinan kehadiran spesies berkenaan.
Namun, keputusan akhir hanya boleh ditentukan selepas proses analisis dan penilaian saintifik selesai.
Jika benar spesies asing seperti piranha berada di perairan tempatan, perkara yang perlu diberi perhatian bukan sekadar giginya yang tajam tetapi juga kemungkinan kesannya terhadap ikan tempatan dan keseimbangan ekosistem.
Buat masa ini, kita tunggu hasil kajian daripada pihak berkuasa. Tak perlu panik tetapi jangan pula ambil mudah soal pelepasan ikan asing ke sungai atau empangan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.