Dengar playlist penuh di sini
.

“Mak, mana charger saya?”
“Atas meja.”
“Tak ada…”
Mak datang, pandang sekejap.
“Ni ha.”
Terus kita diam.
Charger yang dicari hampir 10 kali tadi rupa-rupanya elok saja atas meja.
Mak ni ada setting ‘find my device’ dalam mata ke?
Sebenarnya, fenomena mak cari barang terus jumpa ini bukanlah sebab mak ada kuasa ghaib. Ada sebab yang lebih masuk akal.
Mak lebih kenal rumah.
Mak biasanya lebih biasa dengan susun atur rumah dan tahu di mana barang selalu diletakkan.
Kita pula mungkin mencari berdasarkan apa yang kita jangka.
Charger mesti atas meja. Kunci mesti dekat pintu. Remote mesti atas sofa.
Jadi bila benda itu berada sedikit tersasar daripada tempat biasa, otak kita mudah terlepas pandang.
Mak pula datang dengan pandangan yang lebih menyeluruh.
Kadang-kadang barang itu sebenarnya hanya terlindung di bawah buku atau terselit di belakang sesuatu.
Kita dah tengok, tapi tak benar-benar nampak.
Kita mencari dalam keadaan tergesa-gesa. Bila panik, perhatian kita boleh jadi lebih sempit.
Kita bukan lagi mencari secara sistematik. Kita cuma ulang kawasan yang sama sambil berharap barang itu tiba-tiba muncul.
Macam kita tengah cari telefon sambil pegang telefon.
Itu bukan kehilangan barang. Itu kehilangan fokus.
Mak pula selalunya lebih tenang.
Dia tengok kiri, kanan, angkat satu benda, buka satu laci…
“Ni bukan ke?”
Dan sekali lagi, kita terpaksa mengakui kekalahan.
Mak juga dah hafal perangai kita. Ini mungkin faktor paling besar.
Mak tahu kita selalu campak kunci dekat mana.
Tahu kasut kita suka terselit bawah kerusi.
Tahu siapa yang selalu letak barang atas peti ais walaupun tidak pernah mengaku.
Maksudnya, mak bukan sekadar kenal rumah.
Mak kenal tabiat penghuninya.
Sebab itu pencarian mak sebenarnya bermula dengan banyak “petunjuk” yang kita sendiri tak sedar.
Tapi mungkin ada sesuatu yang lebih besar. Semakin kita dewasa, semakin kita sedar bahawa kebolehan mak “nampak semua benda” itu sebenarnya datang daripada bertahun-tahun dia mengurus dan memerhatikan rumah serta keluarga.
Mak tahu apa yang hilang.
Tahu apa yang berubah tempat.
Tahu barang siapa yang biasanya berada di mana.
Sebab itu benda yang kita anggap remeh, mak boleh perasan.
Jadi lain kali barang hilang, cuba cari betul-betul dulu sebelum jerit:
“Maaaaak!”
Sebab mungkin bukan mak ada mata tambahan.
Kita saja yang terlalu yakin barang itu tak ada.
Dan suatu hari nanti, bila rumah terasa terlalu sunyi, kita mungkin akan paling rindukan satu suara yang dulu selalu kita anggap biasa:
“Dah cari elok-elok belum? Ni ha…”
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.