Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Isu Aqish-Zarif: Netizen Diseru Kekal Berhemah Sebab…

Bila dakwaan dan penafian sudah dibuat, biarlah bukti menentukan kebenaran. Tak semua perkara perlu kita hukum di media sosial.

Rasanya ramai dah tahu tentang isu yang sedang hangat membabitkan Puteri Balqis atau Aqish dengan Zarif Ghazzi. Daripada satu luahan di media sosial, cerita ini semakin panjang. Ada yang bersimpati, ada yang mempertahankan, ada juga yang begitu yakin dengan pendirian sendiri seolah-olah berada di lokasi ketika kejadian.

Tapi sebelum kita terus hanyut dengan segala macam andaian, elok juga kita tahu sejauh mana sebenarnya isu ini sudah berkembang.

Aqish sebelum ini mendakwa seorang pelakon lelaki melakukan sentuhan yang membuatkannya tidak selesa ketika penggambaran. Walaupun tidak menamakan individu tersebut, nama Zarif mula dikaitkan oleh netizen memandangkan kedua-duanya terlibat dalam drama yang sama.

Kemudian, Aqish tampil memohon maaf atas penggunaan bahasa kasarnya dalam luahan terdahulu. Dia turut berterima kasih kepada pihak produksi Global Station yang menurutnya sedang meneliti rakaman asal penggambaran dan mendapatkan keterangan saksi.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak pengurusan Zarif pula menafikan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya. Zarif juga dilaporkan telah membuat laporan polis serta melantik peguam.

Maknanya, perkara ini sudah melangkaui sekadar perbalahan di media sosial. Ada aduan yang perlu diteliti, ada nama baik yang perlu dipertahankan dan ada kebenaran yang masih perlu diperjelaskan.

Jadi, kenapa kita pula yang terlalu cepat mahu membuat keputusan?

Kita kena faham satu perkara. Memberi ruang kepada seseorang untuk bersuara tentang pengalaman yang tidak menyenangkan bukan bermaksud kita sudah mengesahkan setiap dakwaannya. Begitu juga apabila seseorang menafikan tuduhan, itu tidak bermakna kita boleh terus memperlekehkan individu yang membuat aduan.

Dua perkara boleh berlaku serentak. Kita boleh mengambil serius sesuatu dakwaan dan pada masa yang sama tetap menghormati hak orang yang dikaitkan untuk mempertahankan dirinya.

Yang merisaukan adalah apabila sesuatu isu menjadi terlalu sensasi, kita mula memilih siapa yang mahu dipercayai berdasarkan siapa yang kita suka. Cara seseorang bercakap, sejarah hidupnya malah personalitinya dijadikan ukuran untuk menentukan siapa benar dan siapa salah.

Padahal kebenaran bukan pertandingan populariti.

Lebih membimbangkan apabila komen yang pada awalnya sekadar menyatakan pendapat bertukar menjadi penghinaan, tuduhan dan serangan peribadi. Kita mungkin rasa sedang memperjuangkan keadilan tetapi tanpa sedar boleh jadi sedang menambah ketidakadilan kepada pihak lain.

Tak salah mengikuti perkembangan. Tak salah bersimpati. Malah tak salah mempunyai pandangan sendiri. Cuma jangan sampai keyakinan kita mendahului bukti.

Setakat ini, belum ada keputusan siasatan yang diumumkan untuk menentukan apa sebenarnya berlaku. Jadi berilah ruang kepada pihak yang terlibat untuk menyelesaikannya melalui saluran yang sewajarnya, okey Geng?

Ohh ya..netizen, relaks sat boleh?

Bukan semua perkara perlu kita jawab dengan kecaman. Kadangkala, sikap paling matang adalah tahu bila perlu bersuara dan bila perlu menunggu.

Sebab kalau benar kita mahukan keadilan, keadilan itu sepatutnya untuk semua pihak. Bukan hanya untuk orang yang kita pilih untuk percaya. Janganlah SELECT sangat , Geng?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.