Dengar playlist penuh di sini
.

Bayangkan seorang budak perempuan, baru berusia 10 tahun, berdiri di mahkamah sambil menangis teresak-esak semasa memberikan keterangan. Punca dia berada di situ? Bapa kandung sendiri yang merogolnya, bermula seawal usia 7 tahun dan berterusan selama tiga tahun lamanya.
Jam 3.00 pagi menjadi waktu yang paling ditakuti dalam hidupnya. Itulah waktu bapanya akan masuk ke biliknya untuk melakukan perbuatan yang tidak patut berlaku kepada sesiapa, apatah lagi anak sendiri. Selama tiga tahun, dia memikul beban itu seorang diri takut, trauma, tanpa sesiapa tahu.
Kenapa Dia Tak Mengadu Pada Sesiapa?
Sebabnya mudah tapi menyayat hati. Dia bimbang adik-adiknya pula akan jadi mangsa seterusnya kerana pernah diugut. Demi melindungi mereka, dia sanggup berdiam diri walaupun terpaksa menanggung derita itu sendirian.
Tembok itu runtuh apabila suatu malam, dia ternampak bapanya cuba menghampiri bilik adiknya pula. Ketika itu barulah dia hilang sabar dan menjerit memberitahu ibunya tentang segala yang berlaku. Tetapi respons ibunya jauh daripada yang diharapkan. Bukan sokongan, sebaliknya tuduhan bahawa anaknya sekadar mereka cerita, sehingga dia dipukul teruk sampai lebam.
Ironinya, luka daripada pukulan itulah yang akhirnya menjadi titik penyelamat. Seorang guru kaunseling di sekolah perasan kesan kecederaan pada tubuhnya dan mendesak supaya dia berterus terang. Dari situlah laporan polis dibuat dan bapanya ditangkap.
Yang lebih menyedihkan, ada jiran yang menolak mentah-mentah kemungkinan itu berlaku dengan alasan bapanya seorang yang aktif di masjid, jadi “mustahil” perkara itu terjadi.
Kekuatan Pada Usia Sebegitu Muda
Segala yang dilakukan gadis kecil ini demi melindungi adik-adiknya adalah bukti sejati kasih dan pengorbanan seorang kakak. Semasa di mahkamah, dia menceritakan setiap detik kejadian tanpa tersekat-sekat, satu keberanian yang jarang dimiliki walaupun oleh orang dewasa.
Bapanya kini sudah menjalani hukuman penjara. Tapi cerita ini bukan sekadar tentang keadilan yang akhirnya ditegakkan.
Pengajaran sebenar adalah bila anak mula bercerita tentang sesuatu yang buruk, dengar dan berikan tumpuan. Percayakan mereka. Dan buat laporan kepada pihak berkuasa.
Jangan sekali-kali abaikan, apatah lagi mempertikaikan apa yang anak cuba sampaikan.
Banyak kes seumpama ini turut melibatkan ibu yang secara tidak langsung menjadi enabler , terlalu bergantung kepada suami sehingga sanggup memilih untuk tidak nampak apa yang berlaku, walaupun jelas anak sendiri sedang menderita. Ingat, anak adalah pinjaman Tuhan yang diamanahkan untuk tidak dirosakkan oleh sesiapa tidak kira bapa, atuk, pakcik, abang mahupun sepupu.
Jika ada tanda-tanda mencurigakan berlaku di sekeliling kita, jangan berdiam diri. Selamatkan kanak-kanak itu, buat laporan polis dan pastikan siasatan diteruskan sehingga selesai.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.